Skip to main content

Dunia

Menteri Pertahanan Israel rasmi penempatan haram baharu di Jenin

An Israeli army vehicle stands near a Palestinian house which was besieged by Israeli settlers in Qusra village in the Israeli-occupied West Bank, August 13,2026. REUTERS/Ali Sawafta
Sebuah kenderaan tentera Israel berada berhampiran sebuah rumah milik penduduk Palestin yang dikepung oleh pendatang haram Israel di perkampungan Qusra, Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Advertisement

RAMALLAH: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, merasmikan sebuah penempatan haram baharu di kawasan Jenin, Tebing Barat yang diduduki, ketika operasi ketenteraan dan tindakan terhadap penduduk Palestin terus dilaporkan di wilayah berkenaan.

Menurut laporan wartawan Al Jazeera, Nour Odeh yang melaporkan dari Ramallah, Katz mengakui bahawa serangan yang dilakukan oleh pendatang haram Israel dan insiden keganasan di Qusra memberi kesan kepada imej Israel serta hubungannya dengan negara-negara sahabat.

Beliau dilaporkan berkata bahawa tindakan pendatang haram Israel dan kejadian seperti di Qusra “membebankan Israel” serta “rakan-rakannya”.

Bagaimanapun, serangan dan tindakan Israel di wilayah Palestin dilaporkan masih berterusan, termasuk pembinaan penempatan haram dan pos penempatan baharu di kawasan yang diduduki.

Pada Khamis, Katz dilaporkan merasmikan penempatan haram baharu di kawasan Jenin, hanya beberapa jam selepas anggota tentera Israel merobohkan premis perniagaan dan hartanah milik rakyat Palestin di kawasan sama.

Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada pihak Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia yang menegaskan bahawa pembinaan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki melanggar undang-undang antarabangsa.

Jenin sejak beberapa bulan lalu menjadi antara fokus utama operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat, dengan kawasan itu kerap menyaksikan serbuan, penahanan serta kemusnahan infrastruktur yang menjejaskan kehidupan penduduk Palestin.

Masyarakat antarabangsa sebelum ini berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap perluasan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, yang dianggap sebagai antara halangan utama kepada usaha mencapai penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan di Tebing Barat terus meningkat seiring konflik berpanjangan antara Israel dan Palestin di rantau berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement