"Dengan rasa sedih saya menulis untuk memaklumkan kepada anda yang saya akan berhenti menghadiri Kabinet anda dan menyerahkan kepada anda peletakan jawatan saya sebagai Menteri Negara bagi Pembangunan Antarabangsa dan untuk Wanita dan Kesaksamaan," kata Anneliese Dodds dalam surat kepada Perdana Menteri Keir Starmer pada Jumaat.
Ahli politik dari parti Buruh berusia 48 tahun itu berkata kesan pemotongan 0.3 peratus dalam belanjawan bantuan antarabangsa "akan jauh lebih besar daripada yang dibentangkan."
"Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan ODA (bantuan pembangunan luar negara), saya terus menyokong kerajaan dan keazamannya untuk menyampaikan perubahan yang diperlukan oleh negara kita," katanya.
Peletakan jawatan itu berlaku selepas keputusan Starmer untuk memotong peruntukan belanjawan bagi bantuan antarabangsa hampir separuh bagi membiayai peningkatan perbelanjaan pertahanan.
Awal minggu ini, kerajaan mengumumkan yang perbelanjaan pertahanan akan meningkat kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mulai April 2027 dengan jangkaan untuk mencapai 3 peratus dalam sesi parlimen seterusnya.
Keputusan itu menyusul ekoran tekanan daripada Donald Trump, yang mendesak sekutu untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka sambil bekerjasama rapat dengan Rusia untuk menamatkan perang tiga tahun di Ukraine. Perdana Menteri Britain bertemu dengan Presiden AS di Rumah Putih pada Khamis.
-- BERNAMA
