Skip to main content

Dunia

Mirza Fakhrul dipilih Presiden baharu Bangladesh

Mirza Fakhrul Islam Alamgir, secretary general of the Bangladesh Nationalist Party (BNP), speaks during a press conference following the BNP's victory in the 13th general election, at the Hotel Intercontinental, in Dhaka, Bangladesh, February 14, 2026. REUTERS/Mohammad Ponir Hossain
Mirza Fakhrul memperoleh 255 undi berbanding 88 undi yang diterima pesara kolonel Oli Ahmed, calon pakatan pembangkang yang diterajui parti Jamaat-e-Islami. - Reuters
Advertisement

HYDERABAD: Parlimen Bangladesh pada Khamis memilih calon parti pemerintah Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Mirza Fakhrul Islam Alamgir sebagai Presiden ke-23 negara itu.

Beliau memperoleh 255 undi berbanding 88 undi yang diterima pesara kolonel Oli Ahmed, calon pakatan pembangkang yang diterajui parti Jamaat-e-Islami.

Mirza Fakhrul, 78, menggantikan Mohammed Shahabuddin, 76, yang meletak jawatan pada Julai atas faktor kesihatan, dua tahun sebelum tamat tempoh penggal lima tahunnya.

Perdana Menteri Tarique Rahman mengucapkan tahniah kepada presiden yang baru dipilih itu dengan menghadiahkannya sekuntum bunga ros, manakala anggota Jatiya Sangsad, Parlimen Bangladesh, menyambut pemilihan Mirza Fakhrul dengan mengetuk meja masing-masing, menurut agensi berita negara Bangladesh Sangbad Sangstha.

Ketua Pembangkang Shafiqur Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Mirza Fakhrul.

Ini kali pertama sejak 1991 Bangladesh mengadakan pemilihan presiden yang membabitkan lebih daripada seorang calon. Presiden ialah ketua negara, namun peranannya sebahagian besarnya bersifat istiadat.

Mirza Fakhrul menuntut dalam bidang ekonomi di Universiti Dhaka dan aktif dalam politik pelajar.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tarique selepas BNP mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tahun ini.

Mirza Fakhrul menjadi tokoh paling menonjol mewakili BNP di khalayak ramai selama bertahun-tahun ketika ketua parti Begum Khaleda Zia berdepan masalah kesihatan dan tekanan semasa pemerintahan Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina.

Mirza Fakhrul menerajui parti itu dengan bimbingan Tarique yang sekian lama hidup dalam buangan di London.

Beliau meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung BNP beberapa hari sebelum pemilihan presiden.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement