"Saya akan memberitahunya dalam masa terdekat, mungkin dalam tempoh 24 jam, supaya menyemak Jabatan Pendidikan... kemudian saya akan beralih ke ketenteraan. Mari kita periksa ketenteraan," kata Trump dalam temu bual Super Bowl bersama Ketua Penyampai Politik Fox News, Bret Baier.
"Kita akan menemukan berbilion, malah ratusan bilion dolar penipuan dan salah guna," katanya.
Terdahulu pada Ahad, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth memberitahu Fox News bahawa beliau "mengalu-alukan" penelitian DOGE terhadap perbelanjaan ketenteraan.
"Apabila kita membelanjakan wang, kita perlu tahu ke mana ia disalurkan dan sebabnya, dan perkara itu tidak pernah wujud dalam Jabatan Pertahanan," katanya.
Trump menandatangani perintah eksekutif pada hari pertamanya memegang jawatan pada 20 Jan untuk menubuhkan DOGE, sebuah jawatankuasa penasihat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Musk. Jawatankuasa itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan persekutuan bagi memulihkan kecekapan kerajaan dan sejak itu telah meneliti aliran kewangan kerajaan.
Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), sebuah agensi persekutuan yang mengawasi program bantuan kemanusiaan dan pembangunan global negara itu, menjadi antara sasaran utama.
Langkah ini mencetuskan tindakan undang-undang daripada beberapa kesatuan pekerja kerajaan serta agensi pemantau lain.
Seorang hakim persekutuan pada awal Sabtu menghalang DOGE daripada mengakses rekod Jabatan Perbendaharaan yang mengandungi data peribadi sensitif, termasuk nombor Keselamatan Sosial dan akaun bank berjuta-juta rakyat AS.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)