Skip to main content

Dunia

Netflix bakal kurangkan 1,000 pekerja di seluruh dunia

Netflix dijadual mengumumkan keputusan kewangan terbaharunya pada 20 Oktober.
Netflix dijadual mengumumkan keputusan kewangan terbaharunya pada 20 Oktober.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Netflix akan mengurangkan kira-kira 1,000 pekerja di seluruh dunia, iaitu enam peratus daripada jumlah kakitangannya.
  • Pemberhentian ini memberi kesan terutamanya kepada pasukan sumber manusia, perundangan, produk dan teknologi.
  • Langkah ini diambil bagi memfokuskan sumber kepada bidang berimpak tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan dan inovasi syarikat.

LOS ANGELES: Netflix mengumumkan akan mengurangkan kira-kira 1,000 pekerja di seluruh dunia dalam pusingan pemberhentian terbesar sejak 2022, ketika syarikat penstriman itu berdepan persaingan sengit daripada platform rival.

Pengurangan tenaga kerja itu melibatkan sekitar enam peratus daripada jumlah kakitangannya dan dijangka memberi kesan terutamanya kepada pasukan sumber manusia, perundangan, produk dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, sebelum ini mengakui pertumbuhan syarikat itu tidak sepantas yang diharapkan.

Dalam emel kepada kakitangan, Sarandos dan seorang lagi Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Greg Peters, berkata syarikat akan terus melabur dalam bidang berimpak tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan serta memacu pertumbuhan dan inovasi.

Menurut mereka, perubahan organisasi itu sebahagian daripada usaha memastikan sumber dan tenaga kerja diberi keutamaan kepada bidang yang paling penting bagi mencapai matlamat syarikat.

Industri penstriman kini melalui fasa penyusunan semula susulan penggabungan besar antara Paramount dan Warner Bros, pemilik HBO, selain persaingan daripada platform percuma seperti YouTube dan TikTok yang terus menarik perhatian penonton.

Netflix turut berusaha mempelbagaikan perniagaannya menerusi permainan video dan pengiklanan, namun penganalisis berpendapat syarikat itu masih banyak bergantung kepada model langganan sebagai sumber pendapatan utama.

Netflix dijadual mengumumkan keputusan kewangan terbaharunya pada 20 Oktober. Pada 2022, syarikat itu memberhentikan kira-kira 450 pekerja selepas kehilangan pelanggan buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad.

 

 

Must Watch Video

Advertisement