SANTA FE: Negeri New Mexico memfailkan saman terhadap Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Rabu bagi mendapatkan akses kepada fail berkaitan pesalah seks Jeffrey Epstein yang tidak disunting, dengan mendakwa agensi persekutuan itu menghalang siasatan negeri berkenaan terhadap jenayah yang didakwa berlaku di sebuah ladang milik Epstein di New Mexico.
Tindakan undang-undang itu meningkatkan pertikaian yang semakin memuncak berhubung fail Epstein, isu yang terus menjadi perhatian politik di Amerika Syarikat.
New Mexico membuka semula siasatannya pada Februari lalu dan meminta akses kepada fail DOJ yang tidak disunting bagi mengenal pasti pengunjung serta kakitangan di Zorro Ranch, sebuah hartanah milik Epstein berhampiran Stanley, New Mexico, yang dipercayai terlibat dalam jenayah atau menjadi saksi kepada kejadian berkenaan.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Columbia, pihak negeri berhujah bahawa kegagalan kerajaan persekutuan bertindak bukan sahaja melambatkan siasatan, malah menambah penderitaan mangsa yang terselamat.
Mereka turut memohon mahkamah mengarahkan Pemangku Peguam Negara AS Todd Blanche menyerahkan dokumen yang diminta.
Sebagai respons, DOJ menegaskan bahawa mereka telah menyerahkan sebahagian dokumen yang dibenarkan tetapi tidak boleh mendedahkan maklumat tertentu kerana tertakluk kepada perlindungan privasi mangsa serta perintah mahkamah yang berkuat kuasa.
Jurucakap DOJ berkata Akta Ketelusan Fail Epstein dan perintah perlindungan mahkamah tidak membenarkan agensi itu mendedahkan maklumat yang boleh mengenal pasti mangsa, sambil menambah bahawa New Mexico tidak mempunyai asas undang-undang yang mencukupi untuk menuntut pendedahan menyeluruh seperti yang diminta.
Peguam Negara New Mexico Raul Torrez berkata siasatan negeri itu masih belum menghasilkan sebarang pertuduhan selepas lebih lima bulan dijalankan kerana pihaknya memerlukan akses kepada fail berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Beliau turut mendedahkan bahawa sumber yang besar telah diperuntukkan untuk siasatan tersebut.
Pada hari yang sama, Suruhanjaya Kebenaran New Mexico yang menjalankan siasatan bebas terhadap Epstein menerbitkan laporan interim yang mendakwa terdapat bukti bahawa sekurang-kurangnya lima wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa penderaan di Zorro Ranch antara 1996 dan 2012.
Laporan itu turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 30 individu lain berkemungkinan menjadi mangsa penderaan di New Mexico, manakala sebahagian daripada mereka mungkin saksi atau membantu perlakuan jenayah tersebut.
Menurut pengerusi suruhanjaya itu, Andrea Romero, lebih 100,000 rekod telah diterima hasil daripada 20 sepina yang dikeluarkan kepada pelbagai agensi dan institusi.
Namun, tujuh sepina sama ada ditolak atau tidak mendapat respons, termasuk permintaan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bagi rekod penerbangan Epstein serta pejabat pendakwa persekutuan di New York untuk mendapatkan semula bahan bukti yang diserahkan oleh penyiasat New Mexico pada 2019.
Pihak berkuasa New Mexico turut mendakwa DOJ gagal memenuhi perjanjian yang dicapai pada 2019, apabila negeri itu bersetuju menghentikan sementara siasatannya dan menyerahkan bukti kepada kerajaan persekutuan sebagai balasan untuk perkongsian maklumat berterusan mengenai mangsa dan jenayah yang didakwa berlaku.
Torrez sebelum ini mengakui siasatan berkenaan berdepan pelbagai cabaran, termasuk tempoh masa yang panjang sejak jenayah didakwa berlaku, kehilangan sebahagian bahan bukti selepas Zorro Ranch dijual pada 2023 serta isu bidang kuasa yang mungkin menjejaskan sebarang pendakwaan pada masa hadapan.