Skip to main content

Dunia

New Zealand bentang rang undang-undang larang bawah 16 tahun guna media sosial

51709596220_kanakkanak.jpg
Rang undang-undang itu mencadangkan denda maksimum sehingga 10 peratus daripada hasil tahunan global syarikat teknologi sekiranya platform media sosial gagal mematuhi keperluan sekatan umur yang ditetapkan. -Gambar hiasan
Advertisement

WELLINGTON: Kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian di Parlimen hari ini bagi melarang kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial.

Rang undang-undang itu mencadangkan denda maksimum sehingga 10 peratus daripada hasil tahunan global syarikat teknologi sekiranya platform media sosial gagal mematuhi keperluan sekatan umur yang ditetapkan.

Di bawah cadangan berkenaan, penyedia platform media sosial dikehendaki mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan umur pengguna, termasuk menggunakan maklumat akaun sedia ada, teknologi anggaran usia melalui imbasan wajah serta dokumen identiti digital. 

Luxon berkata langkah itu penting bagi mengurangkan kesan buruk media sosial terhadap generasi muda, termasuk aspek kesihatan mental, tidur dan pendidikan. 

"Media sosial mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya, teknologi yang bersifat ketagihan dan tekanan yang mereka belum bersedia untuk hadapi," katanya. 

Bagaimanapun, cadangan itu dijangka berdepan kesukaran untuk memperoleh sokongan mencukupi di Parlimen selepas dua rakan gabungan kerajaan, ACT dan New Zealand First, menyatakan pendirian menolak rang undang-undang tersebut. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan pemimpin New Zealand First, Winston Peters, berkata parti itu tidak akan menyokong cadangan tersebut kerana menganggap tanggungjawab mengawal penggunaan media sosial oleh kanak-kanak sepatutnya dipikul ibu bapa. 

Sebelum ini, Australia menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun menggunakan platform media sosial termasuk TikTok, YouTube, Instagram dan Facebook.

Must Watch Video

Advertisement