Beliau menyatakan demikian dalam ucapan perasmian mesyuarat Jawatankuasa Pusat Fatah di Ramallah, tengah Tebing Barat, pada Rabu, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Merujuk kepada penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika di Addis Ababa yang berakhir Sabtu lepas, Abbas menegaskan semula pendirian tegas Palestin terhadap sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin.
"Palestin bukan untuk dijual," tegasnya sambil mengulangi "pendirian tegas Palestin bahawa tiada bahagian daripada wilayahnya - termasuk Gaza, Tebing Barat atau Baitulmuqaddis - akan dilepaskan."
Abbas turut menekankan kepentingan mematuhi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab sebagai asas bagi sebarang penyelesaian politik berkaitan isu Palestin.
Inisiatif Keamanan Arab, yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Liga Arab 2002 di Beirut, menyeru penubuhan negara Palestin yang diiktiraf dalam sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai pertukaran untuk negara Arab yang mengiktiraf Israel dan normalisasi hubungan.
Abbas turut mengalu-alukan kenyataan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed bin Zayed yang dibuat pada Rabu semasa pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, di mana baginda menegaskan semula penolakan negaranya terhadap sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin serta menekankan bahawa pembinaan semula Gaza mesti dikaitkan dengan laluan yang membawa kepada keamanan menyeluruh.
Jawatankuasa Pusat Fatah turut menolak semua seruan untuk pemindahan paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza atau mana-mana wilayah Palestin yang diduduki, menurut laporan Anadolu.
Jawatankuasa itu menegaskan bahawa "rancangan sedemikian pasti akan gagal, memandangkan penentangan jelas daripada pihak Arab dan antarabangsa yang menganggapnya sebagai pelanggaran undang-undang serta legitimasi antarabangsa."
Jawatankuasa itu turut memuji pendirian Jordan, Mesir, Arab Saudi dan negara-negara Arab lain yang menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin atau menjejaskan hak sah mereka.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah berulang kali mencadangkan untuk "mengambil alih" Gaza dan memindahkan penduduknya bagi membangunkan semula wilayah itu menjadi apa yang dipanggilnya sebagai "Riviera Timur Tengah."
Namun, cadangan itu ditolak sekeras-kerasnya oleh dunia Arab dan negara-negara lain yang menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza berkuat kuasa pada 19 Jan, menghentikan sementara serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 48,300 rakyat Palestin dan meninggalkan enklaf itu dalam runtuhan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
