GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan keadaan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel semakin meruncing, manakala Program Makanan Sedunia (WFP) semakin kehabisan dana, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengarah WFP bagi Palestin Shaun Hughes berkata pada Selasa bahawa mulai September, WFP hanya mampu menyediakan bantuan kepada separuh daripada jumlah penduduk yang memerlukan bantuan.
Jumlah penduduk yang bergantung kepada bantuan WFP di rantau itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lepas, katanya.
Keganasan berterusan oleh peneroka, pelbagai operasi ketenteraan Israel, sekatan terhadap kebebasan bergerak, kemusnahan kediaman serta pemindahan penduduk semuanya menyumbang kepada keadaan berkenaan, katanya.
Ramai rakyat Palestin yang sebelum ini mampu menyara kehidupan sendiri kini bergantung kepada bantuan makanan, katanya.
Hughes menyifatkan keadaan di Semenanjung Gaza sebagai “kejam dan tidak menentu”, serta berkata sebuah gudang WFP rosak akibat serangan udara Israel.
Beliau berkata kehadiran tentera Israel menyebabkan keadaan terlalu berbahaya bagi penduduk untuk menghampiri kawasan pertanian yang pernah mereka usahakan.
Kedai roti memerlukan diesel dan alat ganti untuk mengendalikan ketuhar mereka, namun Israel jarang membenarkan bekalan berkenaan dibawa masuk.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi wilayah Palestin yang diduduki Reinhilde van de Weerdt berkata air kumbahan dari tandas dapat dilihat di jalanan manakala “timbunan sampah setinggi beberapa meter terus menimbulkan risiko kepada kesihatan.”
Jumlah kes cirit-birit hampir dua kali ganda antara Januari hingga Ogos.
“Hujan yang bakal tiba akan menyebabkan kawasan penempatan yang sesak dilanda banjir. Kumbahan, sisa dan air tercemar tidak akan kekal di tempatnya, sebaliknya akan merebak ke ruang yang menjadi tempat orang tidur, memasak dan tempat penjagaan anak-anak mereka,” katanya.
--BERNAMA-dpa