Skip to main content

Dunia

Pelaksanaan hukuman mati penembak Fort Hood akan disiarkan secara langsung

Menurut Pentagon, cadangan pelaksanaan hukuman itu dikemukakan Hegseth dan telah diluluskan oleh Presiden Donald Trump. - Foto fail/REUTERS
Menurut Pentagon, cadangan pelaksanaan hukuman itu dikemukakan Hegseth dan telah diluluskan oleh Presiden Donald Trump. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

WASHINGTON: Pelaksanaan hukuman mati terhadap bekas pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), Nidal Hasan, yang didapati bersalah membunuh 13 anggota tentera di Fort Hood pada 2009, akan disiarkan secara langsung kepada umum.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata orang ramai akan dibenarkan menyaksikan pelaksanaan hukuman itu bagi menunjukkan kesan serius terhadap jenayah sedemikian.

Hasan dijadual dihukum mati oleh skuad penembak pada 3 Disember di Fort Hood, Texas, dalam pelaksanaan hukuman mati ketenteraan pertama di AS dalam tempoh lebih 60 tahun.

Menurut Pentagon, cadangan pelaksanaan hukuman itu dikemukakan Hegseth dan telah diluluskan oleh Presiden Donald Trump.

Hasan, bekas pakar psikiatri tentera, mengaku bertanggungjawab atas serangan yang meragut 13 nyawa dalam insiden tembakan paling berdarah dalam sejarah pangkalan tentera AS.

Serangan pada 5 November 2009 itu berlaku di sebuah pusat perubatan tentera yang dipenuhi anggota yang sedang menunggu pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin sebelum penugasan.

Bagaimanapun, seorang peguam yang mewakili banduan hukuman mati, John Mills, mempertikaikan rancangan siaran langsung itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam era moden.

Beliau turut menegaskan proses rayuan Hasan masih belum selesai dan kemungkinan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sekiranya semakan lanjut dibuat di mahkamah persekutuan.

Sekiranya diteruskan, hukuman terhadap Hasan akan menjadi pelaksanaan hukuman mati oleh skuad penembak pertama dalam sistem ketenteraan AS sejak Perang Dunia Kedua.

 

 

Must Watch Video

Advertisement