HARI bahagia seorang wanita ini bertukar duka setelah dia ditampar oleh ibu mentuanya pada hari pernikahan.

Kejadian memalukan itu menimpa pengantin perempuan dikenali sebagai Dilla yang berasal dari Bontang, Kalimantan Timur di Indonesia.

Rakaman insiden itu yang dikongsikan @nenktainment menerusi Instagram turut menjadi tular di media sosial.

Pada mulanya, proses sungkeman atau memohon restu orang tua di majlis yang berlangsung di Sulawesi Selatan berjalan lancar.

Namun, suasana menjadi tegang ketika pengantin perempuan duduk bersimpuh di hadapan ibu mentuanya.

Momen Dilla mencium tangan ibu mentuanya dengan tertib dan dibalas tamparan secara spontan oleh wanita itu turut dirakamkan jurugambar.

Pengantin lelaki dikenali sebagai Ali bagaimanapun terkejut lalu bingkas bangun dan menegur perbuatan ibunya.

Tetamu undangan dan ahli keluarga yang lain juga terkesima menyaksikan insiden tersebut.

Dilla turut berkongsi catatan di media sosial untuk menerangkan punca dia diperlakukan sedemikian.

"Mamaku sendiri tidak pernah menyakitiku. Sejak dari awal bercinta dengan Ali, saya tidak pernah mendapat restu daripada mentua kerana kerjaya sebagai penyanyi.

"Selain itu, dia juga tidak bersetuju dengan pernikahan kami kerana saya ibu tunggal. Saya cuba bertahan kerana Ali tetap mempertahankan saya sehingga kami disatukan," lapor TribunnewsBogor.com pada Khamis memetik catatannya itu. - Sinar Harian/ Agensi