SAO PAULO: Pengawal selia perlindungan data Brazil mengenakan pada Selasa denda lebih 153 juta real (hampir AS$30 juta) terhadap ByteDance, syarikat induk TikTok, berhubung dakwaan kegagalan dalam pengendalian data peribadi kanak-kanak dan remaja, lapor Associated Press.
Tindakan itu merupakan langkah terbaharu negara Amerika Selatan berkenaan terhadap syarikat media sosial.
Badan kawal selia itu dalam keputusannya berkata TikTok melanggar undang-undang privasi data menerusi akaun pengguna yang log masuk serta sesi pelayaran tetamu, dengan mengumpul dan memproses maklumat peribadi pengguna muda tanpa asas undang-undang yang sah atau perlindungan sewajarnya.
Syarikat itu masih boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan dalam tempoh 10 hari, menurut badan kawal selia Brazil. TikTok tidak segera memberikan ulasan berhubung keputusan itu, yang turut mengarahkan syarikat berkenaan memadam semua data yang dikumpulkan secara tidak sah.
Badan kawal selia Brazil turut berkata syarikat itu perlu mengemukakan pelan bagi meningkatkan perlindungan terhadap golongan bawah umur.
Awal bulan ini, badan yang sama mengesyorkan penggantungan siaran langsung di platform Discord selepas ia dikaitkan dengan satu kes bunuh diri.
Kerajaan Brazil pimpinan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dan Mahkamah Agung negara itu berusaha mengawal selia penggunaan internet dalam kalangan golongan bawah umur, dengan hasil yang masih bercampur-campur setakat ini, ketika beberapa negara termasuk Australia, Kanada dan Indonesia turut melaksanakan usaha serupa.
Wanita pertama Brazil, Rosangela Lula da Silva, yang dikenali sebagai Janja, pada 6 Ogos berkata platform itu perlu ditutup, dengan merujuk kepada kes berkenaan. Beliau juga merupakan pengkritik terhadap perlindungan TikTok terhadap kanak-kanak dan remaja.
-- BERNAMA-AP