WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan merancang untuk membelanjakan puluhan juta dolar bagi melengkapkan ejen imigresen persekutuan dengan sarung tangan yang mampu menghasilkan renjatan elektrik.
Menurut notis yang disiarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pada Isnin, agensi itu menganggarkan perbelanjaan antara AS$10 juta hingga AS$20 juta bagi memperoleh peralatan berkenaan menjelang Mac 2027.
Peranti dikenali sebagai CT-G5 G.L.O.V.E. itu merupakan singkatan kepada 'Generate Low Output Voltage Emitter' dan kini digunakan oleh beberapa institusi penjara serta jabatan polis di AS.
Pengeluar peranti tersebut, Compliant Technologies, menyatakan sarung tangan itu direka untuk mengeluarkan denyutan elektrik berintensiti rendah yang boleh menyebabkan ketidakselesaan sementara bagi mengganggu pergerakan individu ketika berdepan situasi mencabar.
DHS memaklumkan peralatan itu akan digunakan bagi tujuan "gangguan dan penyaheskalasi" dalam operasi penguatkuasaan.
Manual pengguna pula menyatakan sarung tangan itu mampu menghasilkan voltan maksimum 380 volt yang boleh menghalang atau mengganggu koordinasi pergerakan otot seseorang.
Cadangan pembelian itu bagaimanapun menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang bimbang peralatan berkenaan boleh digunakan terhadap penunjuk perasaan dan pendatang yang berada dalam tahanan pihak berkuasa.
DHS mengawasi beberapa agensi termasuk Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), yang memainkan peranan utama dalam pelaksanaan dasar pengusiran besar-besaran pentadbiran Trump.
Menurut notis tersebut, ICE dikehendaki memperoleh dan mengagihkan sarung tangan itu kepada anggota di bawah bahagian Penguatkuasaan dan Operasi Pengusiran serta Unit Siasatan Keselamatan Dalam Negeri.
Langkah itu dibuat ketika ICE terus berdepan kritikan berhubung taktik penguatkuasaan yang didakwa melibatkan pemprofilan kaum serta penggunaan kekerasan berlebihan.
Pusat Undang-Undang Imigresen Kebangsaan (NILC) mengecam rancangan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang boleh meningkatkan risiko keganasan terhadap komuniti rentan.
Presidennya, Kica Mantos, mendakwa pemberian sarung tangan renjatan elektrik kepada ejen penguat kuasa berpotensi menyalahgunakan kuasa selain menimbulkan kebimbangan mengenai layanan terhadap pendatang.
Setakat ini, DHS belum mengeluarkan maklum balas lanjut berhubung kritikan tersebut, manakala Compliant Technologies enggan mengulas mengenai kemungkinan kontrak berkenaan.
Syarikat itu sebelum ini menegaskan teknologinya adalah selamat dan tidak menyebabkan kecederaan kerana renjatan yang dihasilkan tidak menembusi tubuh individu.
Namun, ia turut mengesyorkan agar peranti tersebut tidak digunakan terhadap golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mengalami kecacatan serius.
Kontrak pembelian berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.