WASHINGTON: Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) mengumumkan bahawa ia telah memilih keupayaan sistem laser dan gelombang mikro kuasa tinggi untuk pembuatan seterusnya bagi menangani ancaman dron, laporkan Sputnik/RIA Novosti.
"Jabatan Pertahanan mengumumkan sistem tenaga terarah yang dipilih susulan program perintis tenaga terarah bagi sistem menangani pesawat tanpa pemandu (UAS) oleh Pasukan Petugas Bersama Antara Agensi 401 (JIATF-401), menandakan fasa seterusnya usaha memperluas penggunaan operasi keupayaan laser tenaga tinggi (HEL) dan gelombang mikro berkuasa tinggi (HPM) di seluruh negara," menurut Pentagon dalam kenyataan.
Senarai sistem yang dipilih termasuk sistem Laser Tenaga Tinggi Palletized AeroVironment, sistem Gelombang Mikro Berkuasa Tinggi Leonidas Epirus, sistem Laser Tenaga Tinggi Firefly Kord dan sistem Senjata Laser Kompak Boeing.
"Walaupun sistem ini merupakan keupayaan pertama yang dipilih untuk program perintis itu, Jabatan Pertahanan dan JIATF-401 akan terus menilai teknologi tenaga terarah tambahan.
"Pada Disember, jabatan itu akan mengadakan ujian sistem tenaga terarah di Dugway Proving Ground bagi menilai sistem laser tenaga tinggi dan gelombang mikro berkuasa tinggi tambahan untuk mengenal pasti keupayaan yang berpotensi bagi kegunaan operasi pada masa depan," menurut kenyataan itu.
Pada Isnin, Reuters melaporkan Tentera Darat AS sedang menguji sistem anti-dron di sempadan negara itu dengan Mexico susulan peningkatan ketara dakwaan penggunaan dron oleh kartel.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI