BOGOTA: Penyanyi rap Colombia, Chelo Hop, menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin dengan memijak bendera Israel ketika membuat persembahan di Hip Hop al Parque, festival hip hop terbesar di Colombia, di ibu negara Bogotá pada Sabtu.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan artis berkenaan melemparkan bendera Israel ke lantai sebelum memijaknya sambil melaungkan slogan "Palestina Libre" (Bebaskan Palestin) di hadapan ribuan penonton yang membanjiri kawasan Parque Simón Bolívar.
Chelo Hop, atau nama sebenarnya Karol Restrepo González, melakukan aksi simbolik itu selepas mempersembahkan lagu terbaharunya, Anatomía, yang diterbitkan oleh Astrallbass.
Lagu tersebut membawa mesej berkaitan ketabahan dan perjuangan gerakan rakyat dalam menghadapi cabaran masa depan.
Dalam persembahan sama, beliau turut melaungkan ungkapan "Afuera lo que no pertenece" (Usir pihak yang tidak sepatutnya berada di sini) dan "Nosotros somos más" (Kita lebih ramai), yang disambut sorakan penonton.
Tindakan itu dilihat sebagai manifestasi sokongan terbuka terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus berdepan konflik dan krisis kemanusiaan di Asia Barat.
Rakaman aksi berkenaan kemudiannya tersebar luas di media sosial dan mendapat perhatian pengguna internet di pelbagai negara, sekali gus meletakkan Chelo Hop dalam tumpuan susulan pendiriannya yang secara terbuka menyokong Palestin.