TEHRAN: Perunding utama Iran dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) menyifatkan keputusan pilihan raya pertengahan penggal negara itu sebagai mesej jelas rakyat yang menolak konflik, selepas Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump menerima kekalahan besar.
Speaker Parlimen Iran, Mohammed Bagher Ghalibaf menerusi platform X berkata, rakyat AS telah mengundi dengan mesej "tidak kepada perang", sambil menegaskan Tehran menyokong pendirian tersebut.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika pentadbiran AS mengabaikan kehendak rakyat dan terus tunduk kepada tekanan pihak tertentu di peringkat antarabangsa, Iran akan memberikan tindak balas yang tegas.
Trump pada Selasa mengakui prestasi lemah calon Republikan sebahagiannya berpunca daripada perang dengan Iran dan kenaikan harga petrol yang dikaitkan dengan konflik berkenaan.
Dalam temu bual bersama Fox News, Trump berkata, isu Iran memainkan peranan dalam keputusan pilihan raya, namun menegaskan beliau tidak menyesali keputusan melancarkan serangan bersama Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Menurutnya, rakyat AS menyokong pendekatan pentadbirannya terhadap Iran, tetapi tidak semestinya sanggup menanggung kesan jangka pendek seperti peningkatan kos bahan api.
Trump turut memberitahu CBS News bahawa konflik itu hanya akan berakhir apabila beliau memutuskan demikian.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beliau berulang kali memberi amaran bahawa AS dan Israel boleh kembali melancarkan perang berskala penuh selepas pilihan raya sekiranya tiada perjanjian dicapai dengan Iran bagi menamatkan konflik berkenaan.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei berkata, beliau tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam dasar Washington terhadap Tehran.
Dalam satu kenyataan, Khamenei menegaskan, mana-mana pihak yang menjangka perubahan terhadap apa yang disifatkannya sebagai permusuhan AS terhadap rakyat Iran adalah silap sama sekali.
Beliau turut memberi amaran bahawa perang berkenaan boleh berkembang menjadi konflik yang jauh lebih besar sekiranya ia tercetus semula.
Dalam perkembangan berasingan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa empat kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api laut di Selat Hormuz.
Menurut IRGC, dua kapal masih terbakar, manakala dua lagi kapal tangki ditahan kerana didakwa menggunakan laluan selatan yang dilarang di selat berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan BBC Verify setakat ini tidak menemui bukti yang mengesahkan empat kapal tangki tersebut musnah seperti yang didakwa.
Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pula memaklumkan, sebuah kapal tangki diserang dua projektil yang tidak dikenal pasti kira-kira 26 kilometer di timur laut Limah, Oman, pada Selasa malam, tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Pada Isnin, seorang kru warga India yang berada di atas sebuah dhow, iaitu kapal layar kayu tradisional, terbunuh dalam satu serangan berhampiran lokasi sama, manakala 13 lagi kru berjaya diselamatkan pihak berkuasa Oman.
IRGC turut mendakwa pihaknya menembak jatuh sebuah lagi dron MQ-9 milik AS di Selat Hormuz pada Rabu.
Dakwaan itu dibuat beberapa hari selepas AS melancarkan serangan terhad ke atas Pulau Qeshm sebagai tindak balas terhadap tindakan IRGC yang didakwa melepaskan tembakan ke arah pesawat Amerika.
Ketika ditemu bual Financial Times sebelum pilihan raya berlangsung, Trump memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan perkembangan semasa konflik dan tidak menganggap kedua-dua negara sedang berada dalam keadaan perang sepenuhnya.
Mengulas kemungkinan serangan baharu Israel terhadap Iran, Trump berkata, semua persiapan telah dibuat sekiranya diperlukan, namun beliau tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan itu akhirnya tidak perlu dilaksanakan.
Usaha rundingan tidak langsung untuk menamatkan konflik masih menemui jalan buntu sejak beberapa bulan lalu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, pentadbirannya masih berusaha menyelesaikan krisis melalui dialog dan memberi amaran bahawa tiada pihak akan mendapat manfaat sekiranya perang tercetus semula.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemimpin tertinggi negara itu telah memberikan kuasa tambahan kepada kerajaan untuk merundingkan beberapa isu yang sebelum ini dianggap sensitif.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqai berkata, rundingan semasa yang diantara Qatar masih berpandukan pelan tujuh langkah yang dikemukakan Tehran pada September, namun cadangan itu kini telah dipermudahkan bagi membolehkan pelaksanaannya diselesaikan dalam tempoh dua hari.
Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia, sebahagian besarnya lumpuh sejak perang Iran tercetus susulan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kapal komersial serta sekatan tentera laut AS.
Walaupun kedua-dua negara pernah mencapai persetujuan awal pada Jun untuk menamatkan perang dan membuka semula laluan perkapalan tersebut, perjanjian itu gagal bertahan apabila serangan Iran terhadap kapal dagang berulang semula dan Washington mengembalikan sekatan maritimnya.
Iran menegaskan ia tidak akan melepaskan sebahagian kawalannya ke atas laluan strategik itu, manakala tentera AS terus mengiringi kapal tangki minyak yang beroperasi di Selat Hormuz bagi memastikan eksport tenaga dari negara-negara Teluk tidak terjejas. - Agensi