CANBERRA: Musim panas di Australia semakin panas dan lebih berbahaya, dengan lebih banyak pinggir bandar di bandar yang berisiko akibat panas melampau, menurut peta panas baru yang menyorot impak panas ekstrem, dengan beberapa kawasan di Australia dijangka mengalami dua pertiga tahun ini dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius menjelang 2090 sekiranya tiada tindakan terhadap perubahan iklim, lapor Xinhua.

Menurut Peta Haba Australia yang diterbitkan oleh Climate Council, bagi hampir satu pertiga daripada komuniti di Australia akan mengalami bilangan hari dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius yang dialami setiap tahun dan boleh meningkat dua kali ganda menjelang 2050.

Panas ekstrem yang menjejaskan kesihatan, mata pencarian dan ekonomi rakyat, merupakan antara kesan paling langsung daripada pencemaran iklim. Ia juga antara yang paling bahaya, apabila ramai rakyat Australia maut akibat gelombang haba sejak 1890 berbanding banjir, kebakaran belukar dan semua bencana berkaitan iklim yang lain secara keseluruhan, menurut Climate Council pada Jumaat.

Menurut peta haba itu, penduduk di Western Sydney, yang dijangka mencecah empat juta orang menjelang pertengahan abad ini, akan mengalami dua kali ganda jumlah hari dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius, iaitu kira-kira tiga minggu cuaca panas melampau setiap musim panas. Kawasan itu mencatatkan suhu 48.9 darjah Celsius pada 4 Jan 2020, memberikan gambaran tentang apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Peta haba merupakan alat interaktif yang menunjukkan bagaimana pengurangan pencemaran iklim akibat pembakaran arang batu, minyak dan gas dapat mengehadkan haba melampau di kawasan kejiranan Australia.

Ia turut meramalkan purata bilangan hari panas dan sangat panas, serta malam yang sangat panas, bagi setiap kawasan dalam setahun menjelang 2050 dan 2090, merangkumi beberapa senario termasuk tiada tindakan, meneruskan tindakan sedia ada dan mengambil langkah perlu untuk mengurangkan pencemaran iklim.

Climate Council menggesa tindakan segera bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk mengehadkan jumlah hari dan malam panas melampau yang terpaksa dihadapi rakyat Australia pada masa depan, menurut kenyataan majlis itu.

Ia turut memfokuskan kerentanan kawasan paling miskin, khususnya kanak-kanak, warga emas dan mereka yang bekerja di luar, kerana ramai yang tidak mampu memiliki penyaman udara atau kaedah lain untuk menyejukkan diri daripada haba melampau.

-- BERNAMA