Pembebasan itu membabitkan 183 tahanan, menurut Persatuan Tahanan Palestin dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Pihak Berkuasa Palestin.
Tahanan yang dibebaskan termasuk 36 tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta 333 tahanan dari Gaza yang ditahan selepas 7 Okt 2023. Persatuan Tahanan Palestin menyatakan bahawa 29 daripada mereka berasal dari Tebing Barat, manakala tujuh dari Baitulmuqaddis.
Sementara itu, 24 tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup telah dihantar ke luar Palestin.
Menurut WAFA, ketika proses pembebasan itu, tentera Israel menukar kawasan berhampiran Penjara Ofer, di barat Ramallah menjadi zon ketenteraan, menghalang keluarga daripada berkumpul untuk menyambut kepulangan tahanan serta melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah mereka.
Walaupun berdepan kekangan, ratusan rakyat Palestin dan ahli keluarga tahanan yang dibebaskan berkumpul sejak awal pagi di Muzium Mahmoud Darwish di Ramallah bagi menyambut kepulangan mereka, sambil mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda kegembiraan.
Serangan genosid Israel di Gaza yang berlarutan selama 15 bulan telah meragut lebih 48,200 nyawa, sebahagian besar daripadanya wanita dan kanak-kanak.
Jumlah mereka yang cedera meningkat kepada hampir 112,000, sementara ramai lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan pasukan penyelamat dan pertahanan awam tidak dapat memberikan bantuan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Jan, namun laporan mengenai korban masih berterusan di pelbagai lokasi sejak ia dilaksanakan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)