HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di ibu pejabat parti berkenaan di sini, menandakan permulaan lawatan kerja dua hari beliau ke negara anggota ASEAN itu.

Kunjungan hormat itu diadakan sejam sejurus ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi malam ini. Ia merupakan lawatan kedua beliau ke Vietnam sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Anwar dan Lam menghabiskan kira-kira 30 minit membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dengan Vietnam.

Lam sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada November tahun lepas, kunjungan pertama beliau sejak dipilih sebagai ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos 2024.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, esok.

Kenyataan itu menjelaskan pertemuan berkenaan akan memberi peluang kepada kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

Selain Lam, Anwar turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta di hotel penginapan kedua-dua pemimpin itu di Hanoi malam ini.

Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, yang dianjurkan kerajaan Vietnam, esok.

Bercakap kepada media Malaysia, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai berkata sebagai Pengerusi ASEAN, ucaptama Perdana Menteri pada forum itu akan menekankan usaha untuk memperkukuh kumpulan serantau itu dalam menangani beberapa isu utama.

"Ucaptama Perdana Menteri secara umum akan mengetengahkan usaha untuk memperkukuh ASEAN dalam menghadapi persaingan kuasa besar, memajukan agenda ekonomi digital ASEAN, memacu inisiatif hijau, serta mengutamakan pembangunan mampan bagi menjamin masa depan negara anggota ASEAN," katanya.

Anwar dijadualkan pulang ke tanah air esok selepas menghadiri forum berkenaan.

Sementara itu, Anwar dalam hantaran di laman Facebook berkata pertemuan antara beliau dengan Lam antara lain menyentuh tentang kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan aktiviti perikanan.

"Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam yang banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia. Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan," kata beliau.

Anwar dalam pertemuan itu turut menyampaikan penghargaan atas dukungan Vietnam terhadap kepimpinan Malaysia yang kini mengetuai ASEAN, yang dilihat amat penting bagi memastikan ASEAN kekal kuat dan berjaya dalam mencapai matlamatnya.

"Hubungan strategik antara Malaysia dengan Vietnam tentunya telah menjadi keutamaan negara, terutamanya selepas lawatan terakhir TYT (Lam) ke Malaysia," kata Anwar.

Kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan, yakni satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau, kata Perdana Menteri.

Dalam isu penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, Anwar menghargai garapan (usaha) Vietnam terhadap sejarah negara itu dan mendukung sepenuhnya akses Timor-Leste ke dalam ASEAN.

"Saya turut menekankan bahawa tidak ramai yang benar-benar memahami dan menghargai perjuangan wira-wira Dien Bien Phu, terutamanya dalam mengatur sejarah kenegaraan dan memungkinkan kejayaan Vietnam hari ini," kata beliau.

Menurut Anwar, Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadinya apabila semasa zaman mahasiswa, kepimpinan Ho Chi Minh menjadi inspirasi dan sumber kepada semangat perjuangan beliau.

"Hubungan sejarah antara Malaysia dengan Vietnam cukup erat, dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA