Skip to main content

Dunia

PM UK, Andy Burnham tegas sokong Ukraine, tidak gentar ancaman Rusia

Britain's Prime Minister Andy Burnham receives the "Honorary Distinction to the British People", "Gratitude of the Ukrainian People" award from Ukraine's President Volodymyr Zelenskiy during a commemorative ceremony marking Ukraine's 35th Independence Day outside St. Sofia cathedral in Kyiv, Ukraine August 24, 2026. HENRY NICHOLLS/Pool via REUTERS
Perdna Menteri Burnham (kanan) menerima anugerah daripada Presiden Zelenskyy, bagi pihak rakyat Britain sebagai penghargaan atas sokongan United Kingdom kepada Ukraine. - Gambar Reuters
Advertisement

KYIV: Perdana Menteri Britain, Andy Burnham berikrar akan terus meningkatkan tekanan terhadap Rusia walaupun berdepan apa yang disifatkannya sebagai "ancaman melampau" daripada Moscow, semasa lawatan rasmi pertamanya ke Ukraine sejak memegang jawatan itu.

Dalam lawatan tersebut, Burnham bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy selain mempengerusikan mesyuarat sulung Coalition of the Willing, sebuah gabungan negara yang ditubuhkan oleh Britain dan Perancis di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer.

Beliau berkata, gabungan itu sedang melakukan "segala yang termampu" untuk membantu Ukraine dan turut menggesa Kongres Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Rusia.

Kerajaan Britain juga bersetuju menyerahkan pelan teknikal komponen buatan Britain untuk peluru berpandu Scalp, versi Perancis kepada peluru berpandu kruis jarak jauh Storm Shadow milik Britain, sekali gus membolehkan Ukraine menghasilkan senjata berkenaan di negara itu sendiri.

Burnham berkata, sekutu Ukraine sedang berusaha menggembleng stok sistem pertahanan udara sedia ada bagi membantu negara tersebut mempertahankan ruang udaranya daripada serangan Rusia.

"Ini masa untuk terus memberi tekanan kepada Rusia dan menyekat keupayaannya membiayai perang haram ini," katanya sambil memuji ketabahan rakyat Ukraine.

Menurut beliau, Ukraine bukan beban kepada keselamatan Eropah, sebaliknya menjadi benteng hadapan yang memastikan keamanan benua itu terus terpelihara.

Kenyataan Burnham dibuat selepas jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov mengkritik keputusan Britain berkongsi pelan teknikal peluru berpandu tersebut, dengan menyifatkannya menghalang sebarang kemajuan ke arah perdamaian.

Peskov berkata, tentera Rusia kini mengumpul maklumat bagi mengenal pasti lokasi pengeluaran peluru berpandu itu untuk dimusnahkan.

"Britain terlibat dalam perang ini di pihak rejim Kyiv dan secara berterusan menyemarakkan konflik," katanya.

Mengulas kenyataan itu, Burnham membalas dengan mempersoalkan siapa yang sebenarnya mencetuskan peperangan tersebut.

Beliau berkata, isu peluru berpandu pemintas akan menjadi agenda utama mesyuarat Coalition of the Willing.

Lawatan Burnham ke Kyiv berlangsung ketika Rusia menggandakan serangan terhadap Ukraine sejak beberapa minggu lalu, termasuk serangan ke atas sebuah pusat beli-belah pada Jumaat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang.

Dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat itu, Burnham bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Friedrich Merz menegaskan, pengukuhan pertahanan udara Ukraine adalah keutamaan paling mendesak.

Mereka turut mengecam serangan Rusia yang semakin meningkat terhadap bandar, infrastruktur kritikal dan orang awam Ukraine, selain berikrar memperhebat sekatan ekonomi termasuk tindakan terhadap apa yang digelar sebagai "armada bayangan" Rusia.

Coalition of the Willing yang dianggotai 34 negara termasuk Ukraine mengadakan mesyuarat secara fizikal di Kyiv dan menerusi sidang video, dengan para pemimpin sekali lagi menegaskan komitmen mereka terhadap kemerdekaan dan kedaulatan Ukraine.

Pada masa sama, Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pelepasan bantuan ketenteraan baharu bernilai €6.1 bilion bagi membantu memperkukuh pertahanan udara Ukraine. Dana itu merupakan sebahagian daripada pakej pinjaman keseluruhan EU bernilai €90 bilion kepada Kyiv.

Britain dan Ukraine turut mengumumkan perkongsian teknologi ketenteraan baharu yang membolehkan pakar Britain mengakses pangkalan data Avengers AI Labs milik Ukraine.

Menurut Downing Street, data yang dikumpulkan menerusi sensor dan kamera di medan perang boleh digunakan untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) dalam menangani cabaran keselamatan negara yang dihadapi kedua-dua negara.

Pada sebelah pagi, Burnham meletakkan jambangan bunga di pusara anggota tentera Ukraine di Tanah Perkuburan Memorial Tentera Kebangsaan sebelum menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Ukraine.

Beliau turut menerima anugerah daripada Zelenskyy bagi pihak rakyat Britain sebagai penghargaan terhadap sokongan berterusan London kepada Kyiv.

Dalam ucapannya, Burnham membandingkan perjuangan Ukraine menentang Rusia dengan perjuangan Britain menentang Jerman Nazi pada abad ke-20.

"Negara saya pernah memastikan obor kebebasan Eropah terus menyala pada abad ke-20. Kini, andalah yang memegang obor itu pada abad ke-21," katanya.

Sementara itu, Burnham menegaskan, sokongan Britain terhadap Ukraine tidak akan berbelah bahagi sehingga keamanan yang adil dan berkekalan dapat dicapai.

Beliau berkata, persahabatan antara Britain dan Ukraine akan terus kekal lama selepas perang yang dicetuskan Rusia berakhir.

Dalam perkembangan lain, Moscow memberi amaran akan berlaku "akibat tertentu" susulan penggunaan dron buatan Britain oleh tentera Ukraine dalam siri serangan terbaharu ke atas infrastruktur Rusia.

Ukraine pula terus meningkatkan serangan jarak jauh ke atas Moscow dan beberapa wilayah Rusia lain, termasuk menyasarkan kilang penapisan minyak serta gudang milik platform e-dagang terbesar negara itu, Wildberries.

Pada masa sama, Ukraine berharap memperoleh lebih banyak peluru berpandu pemintas Patriot susulan stok sedia ada yang semakin berkurangan akibat penggunaan berterusan dan ketegangan konflik di Asia Barat.

Kedutaan Rusia di Britain menuduh London sengaja meningkatkan konflik Ukraine dan memberi amaran penglibatan lebih mendalam Britain dalam peperangan itu akan membawa kos yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Burnham menegaskan, pendirian Britain kekal tidak berubah.

"Kami membantu Ukraine mempertahankan diri dan itulah pendirian Britain sejak awal konflik ini. Ia tidak akan berubah," katanya.

Pertempuran antara kedua-dua pihak terus berlarutan apabila serangan dron dan peluru berpandu dilaporkan berlaku di kedua-dua negara sepanjang malam, menyebabkan kematian serta kerosakan terhadap kemudahan awam dan komersial. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement