Syiling keluaran 1813 Holey Dollar telah dicuri dari sebuah muzium di Torun di utara-tengah Poland antara 2011 dan 2018, menyebabkan pihak berkuasa Poland melancarkan pencarian global, kata Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan Isnin.
Syiling itu mula-mula dieksport ke Jerman, yang ia ditawarkan untuk dijual dalam dua lelongan.
Dari sana, ia menuju ke Melbourne di Australia, yang ia dijual pada lelongan kepada pengumpul di Perth dengan harga AUS$525,000 (AS$329,400), kata AFP.
Bagaimanapun, syiling itu diserahkan secara sukarela kepada polis, dan AFP menyatakan bahawa semua pihak di Australia tidak mengetahui bahawa ia adalah barang curi.
Ia telah dikembalikan kepada wakil kerajaan Poland dalam satu majlis.
Komander AFP Renee Colley berkata penyerahan itu merupakan mercu tanda bagi hubungan antara penguat kuasa undang-undang Australia dan kerajaan Poland.
"Ini adalah objek pertama yang kerajaan Australia menerima permintaan pemulangan semula daripada kerajaan Republik Poland," kata Colley.
"AFP gembira dapat memainkan peranan dalam mengembalikan artifak penting ini kepada kerajaan Poland."
Kuasa Usaha Poland di Australia Marcin Kawalowski, memuji usaha negara itu dalam memastikan pemulangan semula objek itu.
"Sebagai diplomat, saya pastinya mengiktiraf kepentingan perjanjian rasmi dan deklarasi politik, tetapi saya berasa lebih puas apabila dapat menyaksikan kejayaan kerjasama dua hala dalam bentuk yang lebih praktikal," katanya.
Syiling itu ditempa daripada dolar perak Sepanyol yang dikeluarkan pada 1777 semasa pemerintahan Raja Charles III Sepanyol. Objek itu juga mempunyai kepentingan kepada Australia kerana Holey Dollars yang dikeluarkan pada 1813, dicipta bagi menangani kekurangan syiling di New South Wales.
-- BERNAMA
