Ringkasan AI
- Mahmoud Abbas menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka, menyifatkannya sebagai taktik mengalihkan perhatian daripada jenayah Israel.
- Beliau menegaskan hanya penyelesaian dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa boleh mengakhiri konflik, dan menyeru tindakan segera PBB terhadap Israel.
- Sidang Kemuncak AU ke-38 bertujuan mendapatkan pengiktirafan global terhadap negara Palestin serta keahlian penuh PBB.
"Sesiapa yang berfikir boleh memaksakan 'Tawaran Abad Ini' yang baharu atau memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka adalah tertipu," katanya pada Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) ke-38 di Addis Ababa, Ethiopia, lapor Agensi Anadolu (AA).
Abbas menegaskan bahawa "seruan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka dan memaksa mereka berpindah hanyalah taktik mengalihkan perhatian daripada jenayah perang, genosid dan kemusnahan di Gaza, serta jenayah peluasan penempatan dan cubaan merampas Tebing Barat."
"Satu-satunya tempat bagi 1.5 juta pelarian yang tinggal di Gaza untuk kembali adalah ke bandar dan kampung mereka yang asal, dari mana mereka diusir pada 1948, selaras dengan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa "amalan kolonial Israel memerlukan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu) bagi menghalang kebangkitan kuasa ekstremis yang mahu menamatkan penyelesaian dua negara."
Abbas turut menyeru sokongan terhadap "persidangan keamanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di PBB pada pertengahan Jun."
Sidang kemuncak itu bertujuan menggerakkan usaha antarabangsa bagi mendapatkan pengiktirafan global terhadap negara Palestin, memperoleh keahlian penuh PBB, dan melaksanakan penyelesaian dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa, menurut Abbas.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, baru-baru ini mencadangkan "mengambil alih" Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara jiran sambil menjadikan wilayah itu sebagai "Riviera Timur Tengah."
"Tawaran Abad Ini" yang diumumkan Trump pada 2020 sebagai cadangan menyelesaikan konflik Israel-Palestin menerima kecaman meluas dari dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.
Perjanjian gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada 19 Jan, sekali gus menghentikan perang genosid Israel yang telah meragut lebih 48,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)