TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv pada Sabtu bagi membantah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan menuntut siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan 7 Oktober 2023.
Demonstrasi yang berlangsung di Dataran Tebusan (Hostages Square) itu diadakan tiga hari sebelum pilihan raya umum pertama Israel sejak perang di Gaza tercetus.
Perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh Majlis Oktober, sebuah kumpulan yang diasaskan keluarga tebusan yang dibawa ke Gaza tiga tahun lalu, bagi menuntut kerajaan bertanggungjawab atas kegagalannya menghalang serangan Hamas yang mencetuskan konflik berkenaan.
Dalam kenyataan di platform X menjelang perhimpunan itu, Majlis Oktober berkata, acara tersebut menjadi kemuncak perjuangan selama tiga tahun untuk menuntut kebenaran didedahkan, akauntabiliti ditegakkan dan sebuah suruhanjaya siasatan negara ditubuhkan.
Di beberapa lokasi lain di Israel, demonstrasi antikerajaan turut diadakan, menurut laporan akhbar Haaretz.
Perhimpunan itu turut disertai beberapa pemimpin utama pembangkang, termasuk Gadi Eisenkot daripada parti Yashar, yang dilihat sebagai pencabar utama Netanyahu daripada blok kanan-tengah.
Menurut laporan The Times of Israel, Eisenkot disambut dengan laungan "Siapa bakal datang? Perdana Menteri seterusnya" oleh peserta demonstrasi di Tel Aviv.
Turut hadir ialah pemimpin Parti Demokrat, Yair Golan.
Seorang peguam dan rakyat Israel, Dan Adin menggambarkan suasana perhimpunan itu sebagai lautan manusia yang berarak dari Dataran Rabin ke Dataran Tebusan bagi menuntut perubahan dan harapan baharu.
Tinjauan pendapat menjelang pilihan raya pada Selasa menunjukkan persaingan sengit antara blok berhaluan kanan pimpinan Netanyahu, yang memegang kuasa sejak penghujung 2022, dan blok diketuai Eisenkot.
Setakat ini, kedua-dua blok tidak dijangka memperoleh majoriti kerusi di Parlimen Israel.
Pilihan raya kali ini dianggap penting kerana boleh menentukan hala tuju dasar keselamatan Israel, termasuk kemungkinan melancarkan semula serangan terhadap Iran.
Penganalisis berpendapat, Eisenkot kurang cenderung untuk meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Tehran sekiranya beliau dipilih sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan isu dasar luar lain, parti-parti utama Israel dilihat mempunyai pendirian yang hampir sama, termasuk penolakan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Menjelang demonstrasi itu, Majlis Oktober turut memaklumkan pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlakunya provokasi daripada penyokong kerajaan.
Menurut kumpulan itu, surat mendesak telah dihantar kepada Ketua Polis Israel susulan maklumat mengenai cubaan pihak yang dikaitkan dengan gabungan pemerintah untuk mengganggu perhimpunan berkenaan.
Majlis Oktober menyatakan matlamat mereka adalah memastikan individu yang bertanggungjawab terhadap kegagalan yang membawa kepada serangan 7 Oktober dipertanggungjawabkan serta keadilan diberikan kepada keluarga yang terkesan.
Namun begitu, kerajaan campuran Netanyahu terus menolak tuntutan supaya suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan.
Sebaliknya, kerajaan mencadangkan pembentukan suruhanjaya bercorak politik dengan separuh ahlinya dilantik oleh kerajaan dan separuh lagi oleh wakil pembangkang.
Pemimpin pembangkang pula menegaskan mereka akan memboikot mana-mana suruhanjaya yang dilantik oleh ahli politik kerana mempertikaikan kebebasan dan ketelusannya. - Agensi