Skip to main content

Dunia

PRU Israel: Blok 12 kerusi Arab penentu 'nyawa' politik Netanyahu di Knesset

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri sesi di Knesset, parlimen Israel, sebelum ia dibubarkan menjelang pilihan raya Israel 2026, di Baitulmaqdis, 16 Julai 2026. - REUTERS/Ronen Zvulun
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri sesi di Knesset, parlimen Israel, sebelum ia dibubarkan menjelang pilihan raya Israel 2026, di Baitulmaqdis, 16 Julai 2026. - REUTERS/Ronen Zvulun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelangsungan politik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berada di ambang bahaya menjelang pemilihan Parlimen (Knesset) ke-26, dengan tinjauan umum terbaharu meramalkan gabungan pemerintah bakal berdepan jalan buntu untuk meraih ambang majoriti 61 kerusi.

Keadaan itu menyaksikan blok 12 kerusi yang diwakili parti-parti Arab Israel diramal menjadi 'kingmaker' atau kuasa penentu sama ada legasi pemerintahan Netanyahu mampu bertahan atau tumbang sepenuhnya.

Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, sentimen kemarahan domestik yang meluap-luap akibat perang berpanjangan serta rancangan perluasan penempatan haram di Tebing Barat berpotensi menyatukan undi minoriti itu bersama pakatan pembangkang.

"Semua orang menjangka sehingga hari ini pembangkang akan menang dan Netanyahu akan jatuh. Berdasarkan tinjauan umum stesen penyiaran Channel 13 baru-baru ini, Netanyahu dijangka memenangi sekitar 51 kerusi sahaja berbanding kelompok penentang dengan 52 kerusi.

"Dalam parlimen 120 kerusi, mana-mana parti memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Di sinilah peranan kerusi orang Arab yang berjumlah 12 kerusi. Pada masa ini, lima menyebelahi Netanyahu dan tujuh lagi bersama pembangkang.

"Jika Netanyahu meneruskan rampasan tanah di kawasan E1 Tebing Barat untuk membina penempatan haram bagi 750,000 pendatang, ini akan menyatukan parti-parti Arab untuk bersama pembangkang, sekali gus menamatkan kerjaya politik Netanyahu," katanya ketika bersiaran dalam program Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI.

Beliau menambah, kempen ketenteraan rejim di selatan Lubnan yang pada awalnya cuba dijadikan suntikan moral domestik kini memakan diri apabila lebih 100,000 penduduk di utara wilayah dijajah itu hidup dalam ketakutan berterusan akibat ancaman serangan balas Hizbullah.

Selain tekanan di medan perang dan penolakan akar umbi, Kamaruzaman berpandangan sekutu utama Tel Aviv di Washington, khususnya pentadbiran Donald Trump, berdepan dilema besar sekiranya rakan kongsi mereka itu terus kehilangan mandat.

"Sekiranya Washington melihat Netanyahu gagal mempertahankan kedudukannya, tidak mustahil Trump akan menekan Netanyahu melakukan 'U-turn', termasuk menerima gencatan senjata dengan Hamas.

"Perbicaraan kes mahkamah Netanyahu sendiri masih tergantung, dan rakyat Israel sedar jika beliau kekal berkuasa secara semberono, risiko eskalasi lebih buruk dengan kuasa serantau seperti Iran akan terus menghantui negara itu," jelasnya lagi.

Must Watch Video

Advertisement