MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa menandatangani undang-undang pertama negara itu yang menyediakan kerangka pengawalseliaan menyeluruh bagi peredaran mata wang digital dan hak digital, lapor Xinhua.
Undang-undang itu mengawal selia pengendalian, perakaunan serta penjagaan dan penyimpanan mata wang digital serta instrumen digital asing.
Ia turut mengawal selia perlombongan mata wang kripto, penerbitan dan peredaran hak digital serta kegiatan pengendali sistem maklumat yang menerbitkan aset kewangan digital.
Selain itu, undang-undang berkenaan menetapkan piawaian bagi penyedia perkhidmatan pertukaran mata wang digital, institusi depositori digital, broker, syarikat pengurusan, penganjur perdagangan dan rumah penjelasan.
Menurut undang-undang itu, hanya organisasi yang disenaraikan dalam daftar khas kerajaan dibenarkan menjalankan kegiatan pertukaran mata wang digital selepas 1 Julai 2027.
Organisasi berkenaan perlu mempunyai modal sendiri sekurang-kurangnya 15 juta rubel (kira-kira US$186,000). Entiti berkenaan juga diwajibkan menyertai organisasi kawal selia kendiri dalam pasaran kewangan.
Pelabur tidak bertauliah dibenarkan membeli mata wang kripto yang mempunyai tahap kecairan tertinggi menerusi pengantara, tertakluk kepada had tahunan 300,000 rubel (US$3,713) bagi setiap pengantara.
Pelabur bertauliah pula boleh memperoleh sebarang mata wang kripto tanpa had berkenaan.
Di bawah peraturan baharu itu, bank diberi kuasa menyekat transaksi berkaitan mata wang kripto yang mencurigakan.
Kegiatan pertukaran mata wang digital ditakrifkan sebagai pelaksanaan urus niaga jual beli mata wang kripto secara sistematik atas nama sendiri dan untuk akaun sendiri di luar perdagangan teratur.
Pelaksanaan secara sistematik ditakrifkan sebagai melakukan dua atau lebih transaksi dalam tempoh sebulan dengan jumlah keseluruhan melebihi 3.5 juta rubel (US$43,300).
Peraturan baharu itu menetapkan bahawa iklan perkhidmatan pelaburan mata wang kripto mesti mengandungi amaran mengenai risiko tinggi dan kemungkinan kerugian kewangan akibat urus niaga berkenaan.
Iklan itu juga perlu memberikan akses kepada maklumat yang membolehkan pelabur menilai kemungkinan risiko serta memaklumkan mengenai sekatan undang-undang yang dikenakan terhadap kegiatan berkenaan.
Undang-undang itu mengekalkan larangan penggunaan mata wang digital dan hak digital sebagai kaedah pembayaran di wilayah Rusia serta melarang pengiklanan berkaitan penggunaannya sebagai kaedah pembayaran.
Sebahagian besar peruntukan undang-undang itu akan berkuat kuasa pada 1 Sept, manakala beberapa peruntukan tertentu akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2027.
-- BERNAMA-XINHUA