DOHA: Qatar sudah memulakan perbincangan mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel.

Dalam sidang media bersama Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan di Doha, Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Jassim Al Thani memberitahu rundingan telah bermula melalui telefon.

"Menurut perjanjian itu, rundingan fasa kedua sepatutnya bermula esok (Isnin). Kami telah mula berhubung dengan pihak-pihak terlibat bagi menentukan agenda dan memulakan perbincangan tersebut.

"Setakat ini, masih belum jelas siapa delegasi lain yang akan terlibat dan bila rundingan itu akan berlangsung, tetapi sekurang-kurangnya perbincangan telah bermula melalui telefon.

"Kami berharap dapat melihat perkembangan dalam beberapa hari akan datang.

"Saya tahu bahawa adalah penting untuk memulakan proses ini sekarang bagi mencapai persetujuan sebelum hari ke-42. Ia juga penting untuk menunjukkan komitmen daripada kedua-dua pihak untuk berunding dengan penuh keikhlasan," katanya.

Gencatan senjata fasa pertama telah bertahan selama dua minggu.

Sementara fasa keduanya merangkumi pembebasan baki tebusan serta lanjutan gencatan senjata tanpa had.

Pertempuran dijangka bersambung awal Mac jika tiada persetujuan dicapai.

Al Thani turut mengulas mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir dan Jordan yang berjiran.

Menurut beliau, ia bukan dasar yang disokong pihaknya.