REYKJAVIK: Rakyat Iceland mengundi menolak cadangan untuk menyambung semula rundingan keahlian negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU) menerusi referendum yang dimuktamadkan pada Ahad.
Keputusan muktamad referendum menunjukkan kem "Tidak" memperoleh 118,040 undi atau 52.8 peratus, menewaskan kem "Ya" yang meraih 105,339 undi atau 47.2 peratus daripada keseluruhan 225,031 undi yang dibuang.
Keputusan itu menjejaskan usaha kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Kristrún Frostadóttir untuk menghidupkan semula rundingan keahlian Iceland ke dalam EU, yang telah digantung sejak lebih sedekad lalu.
Pihak berkuasa pilihan raya turut mengesahkan kadar keluar mengundi mencapai 82.5 peratus.
Perkembangan itu mencerminkan perbezaan pandangan yang ketara di antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya berhubung isu kedaulatan negara serta kawalan terhadap sumber perikanan.
Golongan yang menentang penyertaan ke dalam EU berhujah bahawa keahlian dalam blok itu boleh menjejaskan kuasa membuat keputusan Iceland dalam sektor perikanan dan pertanian yang penting kepada ekonomi negara.
Keputusan referendum itu turut dilihat sebagai tamparan kepada pihak yang menyokong peluasan EU, yang sebelum ini menganggap Iceland sebagai antara calon berpotensi untuk kembali menyertai rundingan keahlian.
Sebelum ini, Frostadóttir berkata keputusan "Tidak" akan menamatkan perdebatan mengenai rundingan keahlian EU buat suatu tempoh yang panjang.
Penyokong rundingan pula berpendapat hubungan lebih rapat dengan EU boleh membantu menangani cabaran ekonomi domestik serta meningkatkan jaminan keselamatan ketika ketidakpastian geopolitik global.