GAZA: Ketika umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keriangan dan keterujaan, suasana suram dan pilu menghimpit penduduk Gaza yang terus diselubungi perasaan kehilangan insan tersayang akibat konflik berpanjangan.

Muhammad Attaullah, 17, yang ditemui wartawan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) di tengah bandar Gaza, hanya mampu memandang sayu deretan gerai yang dihiasi lampu dan juraian seadanya sempena ketibaan bulan mulia itu.

"Ini Ramadan kedua tanpa ayah di sisi kami," katanya sebak.

Detik hitam pada 12 Feb tahun lalu, masih jelas di ingatan apabila ayahnya nekad ke Duwar Kuwait di selatan Gaza untuk mencari rezeki meskipun berdepan ancaman serangan Israel.

"Saya merayu supaya beliau tidak pergi, tetapi beliau tetap berkeras. Beliau pergi dan tidak kembali lagi.

"Jika meninggal dunia, mungkin saya boleh menerima kenyataan itu. Tetapi sehingga kini, beliau masih dianggap hilang," katanya.

"Ada yang beranggapan beliau sudah tiada. Itu lebih menyakitkan," luahnya pilu.

Ruba, 13, turut mengalami nasib serupa selepas kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan mereka.

"Ibu, ayah dan adik-beradik saya semuanya telah tiada. Hanya saya dan nenek yang masih hidup," katanya dengan suara bergetar.

"Dengan siapa saya akan berbuka puasa? Dengan siapa saya menanti azan? Siapa yang akan menyambut Aidilfitri bersama saya?" soalnya, seolah-olah masih berharap semua itu hanyalah mimpi buruk.

Gaza memasuki Ramadan kedua dalam keadaan serba kekurangan di samping krisis kemanusiaan yang semakin parah, selepas serangan Israel pada Oktober 2023.

Menurut sumber perubatan, sekitar 10,000 penduduk dilaporkan hilang, manakala ramai dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Agensi kemanusiaan pula melaporkan lebih 70 peratus penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan, manakala sistem kesihatan hampir lumpuh akibat kekurangan ubat-ubatan dan tenaga perubatan.

Pelbagai entiti antarabangsa terus mendesak agar bantuan kemanusiaan dipercepatkan bagi meringankan penderitaan penduduk yang terpaksa menjalani Ramadan dalam suasana penuh kesukaran.

Fasa pertama gencatan senjata di Gaza dijadual berakhir hari ini, namun masih belum jelas sama ada Israel akan mencadangkan lanjutan fasa berkenaan.

Sejak konflik tercetus, serangan Israel meragut lebih 160,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan ribuan lagi.

-- BERNAMA