NEW DELHI: Seorang remaja Muslim dari India, Mahmood Akram, 19, memecah rekod dunia apabila mampu menguasai 400 bahasa dan dalam masa yang sama berjaya mengikuti pelbagai pengajian universiti di seluruh dunia.

The Express Tribune melaporkan, perjalanan luar biasa remaja ini bermula sejak kecil dengan bimbingan daripada bapanya yang merupakan seorang pakar linguistik.

Kebolehan linguistik Akram mula terserlah apabila beliau mempelajari abjad Inggeris dalam hanya enam hari dan skrip Tamil yang mengandungi 299 aksara dalam tempoh tiga minggu.

Pencapaian yang biasanya mengambil masa beberapa bulan untuk dipelajari.

Di usia lapan tahun, Akram telah mencatatkan rekod dunia di atas kemampuannya untuk menaip dan menulis pelbagai bahasa.

Pada usia 12 tahun, beliau berjaya mengagumkan ahli linguistik Jerman dengan keupayaannya untuk bertutur dalam 400 bahasa, sekali gus memecahkan rekod dunia yang lain.

Tidak hanya terhenti di situ, Akram melangkah lebih jauh dalam minatnya terhadap bahasa apabila mengikuti pengajian dalam talian di sebuah institusi di Israel, mempelajari bahasa Arab, Sepanyol, Perancis, dan Ibrani kerana tidak menemui program pengajian yang sesuai di India.

Seiring dengan peningkatan penggunaan media sosial, Akram mula mengajar bahasa pada usia 14 tahun melalui platform YouTube.

Pada 2024, beliau telah mengadakan bengkel bahasa di Myanmar, Kemboja, Thailand, dan Indonesia, serta berkongsi ilmu dengan pelajar dari pelbagai negara.

Kini, di usia 19 tahun, Akram sedang meneruskan pengajian dalam bidang Sastera Inggeris di Universiti Alagappa, Chennai, dan Animasi di universiti yang sama.

Selain itu, beliau juga mendalami linguistik di Universiti Terbuka United Kingdom.

Walaupun sibuk dengan komitmen akademik, Akram tetap berusaha untuk meningkatkan kefasihannya dalam pelbagai bahasa.

Perjalanan hidupnya kini menjadi sumber inspirasi kepada ahli linguistik, pendidik, dan pelajar di seluruh dunia. - Sinar Harian memetik agensi