Kejadian itu menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dan mencederakan empat lagi individu.
Jurucakap polis negeri Carinthia, Rainer Dionisio, berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada suspek mengenali mana-mana mangsa.
Mangsa yang cedera berusia antara 14 hingga 32 tahun, dengan dua daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal di hospital.
Serangan di Villach berlaku selepas satu lagi serangan di Munich, Jerman minggu ini, di mana seorang warga Afghanistan memandu keretanya ke arah sekumpulan orang awam, mencederakan puluhan mangsa dan mengorbankan dua nyawa.
Serangan seperti ini jarang berlaku di Austria dengan insiden paling dahsyat dalam dekad ini di negara itu ialah serangan bersenjata di Vienna pada 2020 yang mengorbankan empat orang.
Villach terkenal dengan karnivalnya dan merupakan destinasi pelancongan musim panas kerana tasiknya yang popular, tetapi jarang menarik perhatian dalam isu keselamatan.
Menurut laporan media Austria, seorang penghantar makanan warga Syria bertindak melanggar suspek dengan keretanya bagi menghalangnya daripada mencederakan lebih ramai orang.
Serangan ini berlaku ketika Austria menghadapi ketidakstabilan politik.
Parti sayap kanan Freedom Party, yang memenangi Pilihan Raya Parlimen pada September lalu, gagal membentuk kerajaan gabungan.
Presiden Austria kini sedang mempertimbangkan alternatif kepada pilihan raya mengejut.
Freedom Party, yang menentang imigresen haram dan berjanji meningkatkan kadar penghantaran pulang pelarian ke negara seperti Syria dan Afghanistan, segera menggunakan serangan di Villach sebagai bukti perlunya dasar yang lebih tegas terhadap pelarian.
