WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio menekankan kepentingan "penyelesaian untuk Gaza yang menyumbang kepada keselamatan serantau" dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Riyadh, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce pada Isnin, Rubio dan Mohammed memperbaharui komitmen mereka terhadap pelaksanaan gencatan senjata di Gaza serta usaha membebaskan semua tawanan, termasuk warga AS.

Dalam pertemuan itu, Rubio turut mengenang ulang tahun ke-80 pertemuan bersejarah antara Presiden Franklin Roosevelt dan Raja Abdulaziz dari Arab Saudi di atas kapal USS Quincy pada 1945, sambil menegaskan komitmen AS untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan pertahanan dengan Riyadh.

Pertemuan itu turut menyentuh isu serantau seperti Syria, Lubnan, serta keselamatan di Laut Merah dengan kedua-dua pihak menekankan kepentingan kebebasan pelayaran di kawasan itu.

Semasa lawatannya, Rubio turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke Timur Tengah sejak dilantik sebagai setiausaha negara dalam pentadbiran Presiden Donald Trump bulan lalu.

Rubio dijadual meneruskan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam rangka jelajah serantaunya.

Kunjungan Rubio dibuat ketika Presiden Trump mencetuskan kontroversi dengan cadangan untuk "mengambil alih" Semenanjung Gaza, memindahkan rakyat Palestin ke Mesir, Jordan, dan negara lain, serta mengubah wilayah itu menjadi "Riviera Timur Tengah."

Cadangan itu menerima kecaman meluas daripada dunia Arab, negara Islam, serta negara-negara lain yang menganggapnya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

-- BERNAMA