JINXI: Sebuah rumah dikelilingi projek pembinaan lebuh raya baharu, gara-gara pemiliknya berkeras enggan berpindah.

Warga emas dikenali sebagai Huang Ping turut menolak pampasan yang agak lumayan berjumlah 1.6 juta yuan (RM1.04 juta) dan kediaman baharu yang ditawarkan pihak berkuasa selepas seluruh kawasan perkampungan asal di Jinxi, barat daya Shanghai, China dirobohkan.

Media tempatan melaporkan dia menolak kerana tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut.

Rumah tersebut yang dilihat seperti bentuk mata dari pemandangan udara kini dilingkungi tembok konkrit di tengah-tengah laluan lebuh raya berkenaan.

Selepas projek itu hampir siap, Ping dikatakan berasa kesal dengan keputusannya kerana terpaksa menghadapi bunyi bising dan debu projek tersebut.

Dia bersama cucunya yang berusia 11 tahun kini menetap di pusat bandar dan akan kembali semula ke rumahnya selepas projek itu selesai.

Penduduk setempat menggelar Ping sebagai 'pemilik rumah paling keras kepala di China'

Rumah itu turut menarik perhatian komuniti di sana dan menjadi lokasi kunjungan ramai untuk merakamkan gambar kerana keunikannya.

"Saya bimbang dengan bunyi bising apabila lebuh raya itu mula dibuka pada musim bunga ini. Saya rasa amat menyesal," katanya. - Sinar Harian memetik agensi