WASHINGTON: Rumah Putih pada Selasa membantah cadangan pemimpin Arab untuk membangunkan semula Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

"Cadangan semasa tidak mengambil kira realiti bahawa Gaza kini tidak boleh didiami dan penduduknya tidak dapat hidup secara manusiawi di wilayah yang dipenuhi runtuhan serta bahan letupan yang belum meletup.

"Presiden (Donald) Trump berpegang teguh pada visinya untuk membangunkan semula Gaza tanpa kehadiran Hamas.

"Kami menantikan rundingan lanjut bagi membawa keamanan dan kemakmuran ke rantau ini," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS Brian Hughes, dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada Anadolu Ajansi.

Sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah pada Selasa menerima pakai pelan pembinaan semula Gaza oleh Mesir tanpa menjejaskan hak penduduk Palestin ke atas tanah mereka.

Cadangan itu dibuat selepas Trump mengemukakan rancangan untuk "mengambil alih" Gaza dan memindahkan penduduk Palestin bagi membangunkan wilayah itu menjadi apa yang beliau gelar sebagai "Riviera Timur Tengah."

Bagaimanapun, rancangan Trump ditolak oleh dunia Arab serta pelbagai negara lain, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

-- BERNAMA