WAPAKONETA: Rumah yang pernah menjadi tempat Neil Armstrong membesar dan memupuk minat awalnya terhadap dunia penerbangan kini ditawarkan untuk dijual di Ohio, Amerika Syarikat.
Armstrong mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di Bulan menerusi misi Apollo 11 pada 1969.
Kediaman dua tingkat yang terletak di 601 West Benton Street di Wapakoneta itu dimiliki oleh Karen Mikesell, 82, seorang bekas guru sejarah yang telah menetap di situ sejak 1988.
Rumah berkenaan dijual buat kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun.
Menurut Mikesell, beliau tidak mengetahui rumah itu pernah didiami Armstrong ketika membelinya.
Bagaimanapun, selepas mengetahui sejarah kediaman tersebut, beliau berusaha mengekalkan keaslian dan karakter asal rumah itu sebagai penghargaan kepada legasi angkasawan terkenal berkenaan.
Rumah itu mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan hidup Armstrong.
Ketika remaja, beliau membina model kapal terbang di ruang makan rumah berkenaan dan turut menghasilkan terowong angin kecil di ruang bawah tanah untuk menguji rekaannya.
Armstrong juga sering berbasikal dari rumah itu untuk mengikuti latihan penerbangan di sebuah lapangan terbang berhampiran.
Pada usia 16 tahun, Armstrong berjaya melakukan penerbangan solo pertamanya serta memperoleh lesen juruterbang.
Dua dekad kemudian, beliau menjadi komander misi Apollo 11 yang berjaya membawa manusia ke Bulan buat kali pertama.
Sepanjang hampir empat dekad memiliki rumah itu, Mikesell telah menerima kunjungan sembilan angkasawan, termasuk Buzz Aldrin yang turut menyertai misi Apollo 11 bersama Armstrong dan Michael Collins.
Beliau turut mengumpulkan pelbagai memorabilia berkaitan program angkasa lepas Amerika Syarikat, termasuk gambar bertandatangan angkasawan, batu bulan dan sekeping kerajang emas yang pernah digunakan pada kapsul Apollo 11.
Walaupun rumah itu tidak dibuka kepada orang ramai, ia sering menjadi tumpuan pengunjung yang datang ke Muzium Armstrong Air and Space di Wapakoneta untuk melihat lokasi yang berkait rapat dengan kehidupan awal tokoh bersejarah itu.
Mikesell berkata beliau berharap pemilik baharu akan terus menghargai nilai sejarah rumah tersebut, yang menjadi saksi kepada impian awal seorang remaja dari Ohio sebelum beliau mencatat nama dalam sejarah penerokaan angkasa lepas dunia.