Ringkasan AI
- Amerika Syarikat dan Rusia komited untuk mengakhiri perang di Ukraine dengan penyelesaian yang adil, berkekalan, dan boleh diterima semua pihak, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
- Dalam perbincangan di Riyadh, kedua-dua pihak bersetuju melantik pasukan bersama untuk memulihkan misi diplomatik di Washington dan Moscow serta membantu proses penyelesaian konflik.
- Mereka juga sepakat untuk memulakan perbincangan tinggi mengenai kerjasama geopolitik dan ekonomi selepas konflik Ukraine berakhir, dengan kelima-lima pemimpin terlibat secara langsung.
Kata sepakat itu dicapai dalam perbincangan peringkat tinggi antara Rubio dan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, di Riyadh, Arab Saudi, pada Selasa.
"Untuk mengakhiri sebarang konflik, semua pihak perlu membuat konsesi. Kami tidak akan menentukan terlebih dahulu apa konsesi tersebut.
"Tetapi yang penting di sini adalah matlamatnya, dan kami telah mencapai persetujuan mengenai matlamat itu. Matlamatnya adalah untuk menamatkan konflik ini dengan cara yang adil, berkekalan, mampan, dan boleh diterima oleh semua pihak yang terlibat," katanya kepada Reuters.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan seterusnya akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah konkrit bagi mencapai matlamat menamatkan konflik di Ukraine.
Pertemuan antara diplomat tertinggi Rusia dan AS itu bertujuan memperbaiki hubungan kedua-dua negara serta merundingkan penghujung perang di Ukraine—satu perkembangan yang mencerminkan perubahan ketara dalam dasar luar AS di bawah Presiden Donald Trump.
Tiada pegawai Ukraine yang hadir dalam mesyuarat tersebut, yang turut disertai pegawai kanan dari kedua-dua negara.
Rubio turut menjelaskan bahawa AS bersetuju dengan empat prinsip utama dalam perbincangan tersebut.
Prinsip pertama, katanya, adalah melantik pasukan bersama antara kedua-dua negara bagi memulihkan fungsi serta misi diplomatik di Washington dan Moscow secepat mungkin.
"Perkara kedua ialah kami akan melantik pasukan peringkat tertinggi dari pihak kami untuk membantu merundingkan dan menyelesaikan konflik di Ukraine secara berkekalan serta diterima semua pihak terlibat," katanya.
Rubio turut menekankan kepentingan kerjasama di peringkat tinggi bagi meneliti potensi hubungan geopolitik dan ekonomi pasca perang. "Perkara ketiga ialah untuk memulakan perbincangan di peringkat tinggi bagi membincangkan, meneliti serta meneroka kerjasama geopolitik dan ekonomi yang boleh wujud selepas konflik di Ukraine berakhir," tambahnya.
Menurutnya, prinsip terakhir yang dipersetujui adalah penyertaan langsung kelima-lima pemimpin dalam mesyuarat itu bagi memastikan segala usaha berjalan secara produktif.
Selain Rubio dan Lavrov, mesyuarat itu turut dihadiri Penasihat Keselamatan Nasional AS, Mike Waltz; utusan Rumah Putih untuk Asia Barat, Steve Witkoff; serta Penasihat Dasar Luar Kremlin, Yuri Ushakov.
