Menurut laporan media tempatan, insiden pembunuhan itu berlaku di rumahnya terletak di Jalan Gunungsari RT 10 RW 9, Kelurahan Jomblang, Kecamatan Candisari, Kota Semarang pada Selasa.
Dilaporkan suspek, Imam Ghozali, 37, sempat melarikan diri selama empat hari sebelum berjaya diberkas oleh Unit Jenayah Polis Semarang di sebuah rumah kosong di wilayah Tanah Putih baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Kota Semarang, Kombes M Syahduddi, suspek merupakan seorang penganggur yang sering meminta wang daripada ibunya, Salmah, 62.
“Suspek ialah anak sulung daripada lima beradik. Menurut pengakuannya, dia berasa sakit hati kerana ibunya selalu membandingkan dirinya dengan adiknya yang lebih berjaya,” kata Syahduddi dalam sidang media di Mapolrestabes Semarang.
Suspek dipercayai membunuh ibunya dengan menggunakan sebilah parang sepanjang 50 sentimeter.
Mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman di dada yang menembusi paru-paru.
Suspek kini didakwa mengikut Pasal 44 Ayat (3) Undang-Undang No. 23 Tahun 2004 mengenai Keganasan Rumah Tangga serta Pasal 340 KUHPidana.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara. - Sinar Harian memetik agensi
