AARAU: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala lima lagi cedera, sebahagiannya parah, dalam satu insiden tembakan ketika pesta muzik rave berlangsung di wilayah Aargau, utara Switzerland awal pagi Ahad.
Polis Cantonal Aargau mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira 2.30 pagi waktu tempatan ketika acara muzik tekno Aarau Rave VOL. 7 berlangsung di pekarangan trek lumba kuda di Schachen.
Jurucakap polis, Pascal Wenzel, berkata pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan operasi besar-besaran membabitkan anggota polis, penyelamat dan bomba di lokasi.
Media tempatan, Blick, melaporkan sebahagian pengunjung pada mulanya menyangka bunyi tembakan yang kedengaran berturut-turut sebagai bunga api sebelum menyedari situasi sebenar dan berlindung.
Kejadian itu dilaporkan berlaku tidak lama selepas acara muzik berkenaan berakhir, menyebabkan pihak berkuasa menutup kawasan yang luas di sekitar trek lumba kuda sebagai langkah keselamatan.
Setakat ini, motif kejadian dan kronologi penuh insiden masih dalam siasatan, manakala operasi keselamatan serta siasatan polis masih diteruskan.