BRUSSELS: Sekumpulan 15 organisasi media, persatuan wartawan dan pertubuhan kebebasan akhbar pada Rabu menggesa Presiden Suruhanjaya Eropah (EU) Ursula von der Leyen, supaya menambah baik akses wartawan kepada dokumen awam.
Gesaan itu dibuat ketika Ombudsman EU sedang menjalankan siasatan berhubung keengganan suruhanjaya tersebut mendedahkan dokumen berkaitan Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu surat terbuka kepada von der Leyen, kumpulan itu mendesak badan eksekutif EU tersebut untuk menangani apa yang disifatkan sebagai "krisis senyap" yang telah menghalang usaha wartawan mendapatkan maklumat penting bagi meneliti perkara yang mempunyai kepentingan awam.
Rayuan itu susulan tindakan Ombudsman Eropah, Teresa Anjinho memulakan siasatan minggu lepas terhadap aduan sebuah organisasi berita berhubung keengganan suruhanjaya itu mendedahkan 17 dokumen berkaitan projek infrastruktur di Semenanjung Gaza yang dibiayai oleh EU.
Sebuah kumpulan media, EUobserver pada mulanya meminta dokumen berkenaan pada Februari sebagai sebahagian penyiasatan untuk meneliti sejauh mana serangan Israel telah memusnahkan infrastruktur yang dibiayai EU di wilayah Palestin itu.
Suruhanjaya tersebut enggan mendedahkan bahan berkenaan dengan alasan tiada kepentingan awam yang cukup mendesak untuk mewajarkan pendedahannya.
Rayuan susulan yang dikemukakan oleh EUobserver juga tidak mendapat sebarang jawapan.
Kumpulan tersebut turut menggesa agar satu pelan tindakan baharu diwujudkan bagi menambah baik akses wartawan kepada maklumat.
Ini termasuk melaksanakan syor daripada Ombudsman Eropah, mematuhi sepenuhnya keputusan Mahkamah Keadilan Eropah serta memperkukuh prosedur dalaman bagi tujuan pemfailan dan pengarkiban dokumen.
“Reputasi Suruhanjaya Eropah dalam memelihara nilai-nilai demokrasi Kesatuan Eropah kini terancam. Pada saat norma-norma demokrasi sedang diserang di seluruh dunia, inilah masanya untuk mempertahankan nilai-nilai tersebut,” tegas surat itu.
Antara pihak yang menandatangani surat tersebut ialah Committee to Protect Journalists, EUobserver, European Federation of Journalists, Follow the Money, Forbidden Stories, International Federation of Journalists, International Press Institute, Investigate Europe dan PEN International.
-- BERNAMA-ANADOLU