BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 137 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada Januari, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 137 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata di Gaza pada Januari, dengan tuduhan Israel memperhebat serangan.
  • Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean menyatakan 145 orang terbunuh dan 605 cedera akibat serangan Israel sejak gencatan senjata.
  • Israel dituduh menggunakan sekatan dan kebuluran sebagai taktik pembunuhan perlahan, menyebabkan malapetaka kemanusiaan di Gaza.


Dalam satu kenyataan, Salama Marouf, ketua pejabat media kerajaan Gaza menuduh Israel sengaja memperhebat serangannya ke atas rakyat Palestin sejak 10 hari lepas yang melanggar perjanjian gencatan senjata.

"Jenayah terbaru tentera rejim ialah serangan udara yang menyasarkan sekumpulan orang awam di tengah Gaza, membunuh lima orang, termasuk dua beradik, menjadikan jumlah yang syahid sejak gencatan senjata bermula kepada 137 orang," kata Marouf.

Menurut saksi, sebuah dron Israel telah menyerang sekumpulan rakyat Palestin berhampiran sebuah rumah yang musnah di kawasan Netzarim, berhampiran sempadan tenggara Bandaraya Gaza, mengorbankan lima orang.

Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean menyatakan bilangan kematian akibat serangan Israel di Gaza sejak gencatan senjata adalah 145 orang.

Menurut kumpulan yang berpangkalan di Geneva itu, Israel telah membunuh purata tujuh rakyat Palestin setiap dua hari, dengan 605 orang yang lain cedera.

Sejak perjanjian itu berkuat kuasa, "Israel telah menggunakan sekatan dan kebuluran sebagai taktik pembunuhan perlahan dalam genosid penduduk Gaza," menurut kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.

Pasukan lapangan kumpulan hak asasi manusia itu mendokumentasikan serangan Israel yang berterusan, termasuk "tembakan penembak hendap, serangan dron, dan serangan quadcopter ke atas orang awam Palestin, terutamanya mereka yang cuba memeriksa rumah mereka berhampiran zon penampan yang dikenakan Israel di sepanjang sempadan utara dan timur Gaza," menurut kumpulan itu.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata Rafah di selatan Gaza merupakan antara kawasan yang paling kerap diserang sejak gencatan senjata.

Mereka mengutuk "serangan sistematik Israel" yang berterusan "tanpa justifikasi ketenteraan walaupun permusuhan telah dihentikan" seperti yang termaktub dalam perjanjian.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean menuduh Israel meningkatkan "dasar genosid" dengan mengenakan keadaan hidup yang semakin membawa maut, menyebabkan pembunuhan sistematik dan perlahan melalui sekatan penuh yang menghalang kemasukan bekalan penting dan bantuan kemanusiaan.

Kumpulan itu memberi amaran mengenai malapetaka kemanusiaan yang akan berlaku akibat pengepungan berterusan sambil menyatakan bahawa "pasar kehabisan bekalan dan banyak pusat bantuan serta dapur amal telah ditutup sejak penutupan lintasan sempadan pada 2 Mac."

Langkah-langkah ini "akan memburukkan lagi penderitaan orang awam dan mendorong rakyat Palestin ke arah kebuluran yang tidak dapat dielakkan," kata kumpulan itu.

Pemantau itu memberi amaran mengenai bahaya menafikan rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak daripada mendapat nutrisi yang mencukupi, yang boleh mengakibatkan malnutrisi yang teruk, kerosakan kesihatan yang tidak dapat dipulihkan, serta kecacatan fizikal dan kognitif yang kekal.

Kumpulan hak asasi manusia itu menuduh Israel bukan sahaja menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai alat tawar-menawar untuk keuntungan politik dan ketenteraan, tetapi juga dengan sengaja melaksanakan dasar kebuluran sistematik yang bertujuan untuk mewujudkan keadaan hidup yang membawa maut, menjadikan Gaza tidak boleh didiami.

Pemantau itu menggesa negara dan entiti berkaitan untuk mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik segera bagi menghentikan genosid di Gaza, sambil menyeru langkah tegas untuk memaksa Israel menarik balik sekatan sepenuhnya dan menghalang taktik pembunuhan perlahan serta pemindahan paksa.

Lebih 48,500 orang telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam serangan kejam Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023. Serangan itu dihentikan sementara di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.

Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan serangan yang dilancarkan ke atas Gaza.

-- BERNAMA