Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 139 maut, 84 hilang selepas bot pendatang karam di Djibouti

Petugas Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) membantu menerima mangsa terselamat selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 305 pendatang karam dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman. - Foto REUTERS
Petugas Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) membantu menerima mangsa terselamat selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 305 pendatang karam dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Sekurang-kurangnya 139 orang, termasuk 15 kanak-kanak, maut dan 84 lagi hilang selepas bot pendatang karam di perairan luar pantai Djibouti.
  • Lebih 80 mangsa terselamat, semuanya warga Ethiopia, manakala operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Djibouti masih diteruskan.
  • Laluan Djibouti-Yaman kekal berisiko tinggi, dengan lebih 500,000 pendatang cuba menyeberang tahun lalu dan sekurang-kurangnya 900 maut atau hilang.

DJIBOUTI: Sekurang-kurangnya 139 orang, termasuk 15 kanak-kanak, maut manakala 84 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa pendatang karam di perairan luar pantai Djibouti, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Dalam kenyataan pada Ahad, IOM memaklumkan insiden itu berlaku berhampiran Guhere di pantai timur Djibouti, di Teluk Aden berhampiran Selat Bab al-Mandeb, antara Khamis malam dan awal pagi Jumaat.

Menurut mangsa yang terselamat, bot itu sedang dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman dengan membawa lebih 300 penumpang ketika kejadian berlaku.

Lebih 80 mangsa terselamat, semuanya warga Ethiopia, manakala operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Djibouti masih diteruskan.

Ketua Misi IOM di Djibouti, Alexandre Coissac, berkata pasukan agensi itu berada di lokasi bagi membantu pihak berkuasa tempatan menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Beliau turut menyifatkan tragedi itu sebagai satu kehilangan nyawa yang amat menyedihkan serta mengingatkan tentang bahaya yang dihadapi pendatang yang menggunakan laluan tersebut untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik.

Menurut IOM, angka korban rasmi setakat ini hanya melibatkan mayat yang telah dikenal pasti dan dikebumikan oleh pihak berkuasa Djibouti.

Beberapa mangsa lain dipercayai telah dikebumikan oleh pendatang sendiri dan belum dimasukkan ke dalam jumlah rasmi sementara menunggu pengesahan identiti.

Laluan merentasi Selat Bab al-Mandeb, yang menghubungkan Djibouti dan Yaman, merupakan antara laluan migrasi utama tetapi berisiko tinggi bagi ribuan pendatang dari rantau Tanduk Afrika yang ingin menuju ke negara-negara Teluk untuk mendapatkan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.

IOM berkata lebih 20,000 pergerakan masuk dari Ethiopia ke Djibouti direkodkan sejak 10 September lalu.

Tahun lalu, lebih 500,000 orang cuba menggunakan laluan itu untuk memasuki Yaman, dengan sekurang-kurangnya 900 orang dilaporkan maut atau hilang.

Selain menjadi titik pelepasan pendatang, Djibouti turut menerima kemasukan ribuan pelarian dari Yaman yang melarikan diri akibat konflik yang kembali memuncak di negara itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement