SYDNEY: Siklon Tropika Zelia membadai utara Australia Barat (WA) dengan kekuatan taufan kategori 5, lapor agensi berita Jerman dpa, memetik Biro Meteorologi (BoM).

Pihak berkuasa WA memberi amaran tentang impak "sangat merosakkan" siklon itu, yang melanda pada 12.30 tengah hari waktu tempatan (0430 GMT) berhampiran Port Hedland, kira-kira 13,000 kilometer timur laut Perth, di pantai utara negeri itu.

BoM memberi amaran tentang angin kencang, banjir dan gelombang ribut yang mungkin datang bersama siklon itu.

"Teras sistem yang sangat merosakkan, kawasan di sekitar mata siklon atau pusat siklon, memberi kesan kepada pantai itu di timur Port Hedland, kini membawa membawa angin yang boleh menyebabkan sehingga 290 kilometer sejam yang boleh mendatangkan kerosakan selain hujan lebat serta banjir," kata Matthew Collopy dari BoM dalam sidang media.

Collopy berkata Zelia membawa hujan amat lebat, dengan "taburan hujan dijangka 200-300 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam akan datang, dalam masa tiga hari, taburan hujan sehingga 500mm mungkin berlaku".

Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan WA, Darren Klemm memberi amaran "bahaya tidak akan reda sebaik sahaja siklon itu berlalu".

"Keadaan selepas siklon boleh sama bahayanya dengan siklon itu sendiri, termasuk bangunan yang rosak, kabel elektrik yang tumbang dan serpihan, jadi sangat penting bagi orang ramai untuk kekal di dalam rumah sehingga amaran berubah," kata Klemm dalam taklimat itu.

Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan WA memberi amaran tentang "kejadian cuaca yang berpotensi mengancam nyawa" ketika Zelia meningkat menjadi taufan kategori 5 pada Khamis.

-- BERNAMA