Ringkasan AI
- Singapura mengeluarkan notis langkah pencegahan kepada tiga lagi syarikat Indonesia berkaitan kebakaran di Kalimantan yang disyaki menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.
- Jumlah syarikat Indonesia yang menerima notis di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan kini meningkat kepada 10, termasuk tujuh syarikat di Sumatera.
- NEA mengarahkan syarikat terlibat memadam kebakaran, menghentikan aktiviti pembakaran, dan mengemukakan pelan tindakan pencegahan kepada pihak berkuasa Singapura.
SINGAPURA: Singapura akan mengeluarkan notis langkah pencegahan (PMN) kepada tiga lagi syarikat Indonesia yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran di Kalimantan yang mungkin menyumbang kepada jerebu rentas sempadan di republik itu.
Langkah terbaharu itu menyusuli pengeluaran notis serupa kepada tujuh syarikat di Indonesia pada Jumaat lepas berhubung kebakaran di Sumatera, menjadikan jumlah syarikat yang menjadi sasaran tindakan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) Singapura meningkat kepada 10.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan pada Isnin menyenaraikan tiga lagi syarikat itu sebagai PT Buana Megatama Jaya, PT Mananjung Hayak dan PT Baratama Putra Perkasa.
"Terdapat petunjuk bahawa asap daripada kebakaran di kawasan konsesi tiga lagi syarikat Indonesia di Kalimantan mungkin telah sampai ke Singapura," menurut NEA.
Tujuh syarikat yang menerima notis sama pada Jumaat ialah PT Bumi Andalas Permai, PT Bumi Mekar Hijau, PT Paramitra Mulia Langgeng, PT Sumatera Alam Anugerah, PT SBA Wood Industries, PT Hutan Lestari Raya dan PT Bangkanesia.
Menurut NEA, PMN menghendaki syarikat terbabit mengerahkan anggota pemadam kebakaran bagi memadamkan kebakaran di tanah milik atau yang diduduki mereka serta menghalang api daripada merebak.
Syarikat berkenaan juga dikehendaki menghentikan atau tidak memulakan sebarang aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan kepada NEA yang memperincikan langkah untuk memadamkan kebakaran di tanah mereka dan mencegah kejadian sama daripada berulang.
"NEA kekal komited untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan di Singapura," menurut agensi itu.
-- BERNAMA