SINGAPURA: Singapura mula mengagihkan pelitup muka N95 secara berperingkat kepada penduduk yang mudah terjejas berikutan bacaan zarah halus PM2.5 bagi tempoh satu jam mencecah paras sangat tinggi pada Rabu, ketika keadaan jerebu semakin buruk.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata kepekatan PM2.5 bagi tempoh satu jam berada antara 139 dengan 251 setakat 4 petang, dengan keadaan jerebu terus merosot ekoran cuaca kering.
Bacaan PM2.5 bagi tempoh satu jam merujuk kepada purata setiap jam bagi paras pencemar PM2.5.
PM2.5 merujuk kepada zarah halus dengan diameter 2.5 mikrometer atau kurang dan merupakan pencemar utama ketika berlaku jerebu, sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan.
“Pelitup muka N95 akan disediakan secara berperingkat di lokasi pengambilan yang ditetapkan dan mungkin tidak tersedia serta-merta di semua lokasi.
“Mesin layan diri sedang ditempatkan secara berperingkat di seluruh pulau mulai petang ini manakala stok di semua lokasi pengambilan akan ditambah semula secara berperingkat dan tetap,” menurut NEA dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, NEA berkata bilik dengan penyaman udara di kelab masyarakat serta beberapa Pusat Jawatankuasa Penduduk dan Rangkaian Penduduk terpilih disediakan sebagai pusat perlindungan jerebu.
“Orang ramai boleh mendapatkan kelegaan daripada jerebu di pusat perlindungan jerebu ini,” menurut agensi itu.
Sementara itu, ramalan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) bagi tempoh 24 jam di seluruh republik itu kekal dalam julat tidak sihat hingga sangat tidak sihat, dengan jerebu asap tebal dijangka terus bergerak ke arah pulau berkenaan sepanjang malam hingga Khamis.
“Jerebu asap tebal akibat kebakaran di Kalimantan diperhatikan bergerak ke arah Singapura berikutan tiupan angin tenggara semasa. Jerebu asap turut diperhatikan di Sumatera,” menurut NEA.
Setakat 5 petang, bacaan PSI bagi tempoh 24 jam ialah 175 di kawasan barat, 166 di kawasan tengah, 164 di kawasan timur, 148 di kawasan selatan dan 121 di kawasan utara.
PSI bagi tempoh 24 jam menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA, dengan bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat dan bacaan melebihi 300 sebagai berbahaya.
-- BERNAMA