Skip to main content

Dunia

Singapura tambah S$30 juta perkukuh kapasiti keselamatan siber ASEAN

Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berucap pada Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) edisi ke-11 di Singapura pada Rabu. - Foto Astro AWANI
Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berucap pada Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) edisi ke-11 di Singapura pada Rabu. - Foto Astro AWANI

Advertisement

SINGAPURA: Singapura akan melaburkan tambahan S$30 juta bagi memperkukuh kapasiti keselamatan siber ASEAN untuk tempoh lima tahun lagi menerusi Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE).

Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berkata, pelaburan tambahan itu bertujuan meneruskan serta memperkukuh operasi pusat berkenaan, yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan siber serantau.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada 2019, pusat itu telah melaksanakan lebih 80 program dengan penyertaan melebihi 2,200 peserta.

Beliau berkata, fasa seterusnya akan memberi tumpuan lebih mendalam kepada latihan tindak balas insiden, perlindungan infrastruktur kritikal, risiko keselamatan siber berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta diplomasi siber.

“Singapura komited untuk memainkan peranannya bersama rakan kongsi lain bagi memperkukuh keupayaan keselamatan siber di seluruh rantau ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) edisi ke-11 di Singapura pada Rabu.

Josephine berkata, peningkatan ancaman siber, termasuk serangan berterusan termaju (APT), perisian tebusan dan penggunaan AI oleh penyerang, memerlukan kerjasama rentas sempadan yang lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Beliau mendedahkan Singapura merekodkan peningkatan empat kali ganda dalam serangan APT yang disyaki antara 2021 hingga 2024.

Awal tahun ini, empat syarikat telekomunikasi utama Singapura turut menjadi sasaran pelaku ancaman siber canggih, namun kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat telekomunikasi berjaya menangani ancaman berkenaan tanpa menjejaskan perkhidmatan.

Mengulas ancaman perisian tebusan, beliau berkata serangan sedemikian kini berkembang menjadi kegiatan jenayah rentas negara yang melibatkan penyerang, mangsa, infrastruktur dan hasil jenayah di lokasi berbeza.

Beliau turut memberi contoh serangan terhadap Pusat Data Nasional Indonesia pada 2024 yang mengganggu perkhidmatan imigresen dan perkhidmatan awam lain, termasuk di lapangan terbang utama.

Menurutnya, perkembangan AI pula membolehkan pelaku berniat jahat melancarkan serangan dengan lebih pantas dan menyasarkan lebih banyak sistem, sekali gus memendekkan tempoh yang tersedia untuk pasukan pertahanan mengesan serta bertindak balas terhadap ancaman.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara anggota ASEAN memperkukuh penyelarasan tindak balas insiden dan memastikan program pembangunan kapasiti dilaksanakan secara terarah, terselaras serta memenuhi keperluan operasi sebenar.

Beliau berkata, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Serantau ASEAN (ASEAN Regional CERT), yang dilancarkan dua tahun lalu, menyediakan platform penting bagi membolehkan negara anggota berkongsi maklumat ancaman dan saling membantu ketika berdepan insiden siber.

Josephine turut menegaskan bahawa pembangunan kapasiti keselamatan siber penting bagi mengekalkan kepercayaan rakyat dan perniagaan terhadap perkhidmatan digital, khususnya ketika ekonomi ASEAN semakin saling berhubung.

Menurutnya, serangan terhadap sistem pembayaran, syarikat telekomunikasi atau penyedia perkhidmatan awan di sesebuah negara berpotensi memberi kesan merentasi sempadan.

Justeru, beliau berkata ASEAN perlu terus memperkukuh ekosistem keselamatan siber serantau, termasuk melalui kerjasama dengan industri dan ahli akademik serta sokongan rakan dialog.

Beliau turut menekankan kepentingan ketertiban berasaskan peraturan dalam ruang siber bagi mengurangkan ketidakpastian dan risiko salah perhitungan, selain memastikan rantau ini kekal berdaya tahan menghadapi ancaman yang semakin kompleks.

Must Watch Video

Advertisement