Skip to main content

Dunia

Stesen radio UK langgar peraturan selepas tersilap umum kemangkatan Raja Charles III

Britain's King Charles III salutes as he rides with Queen Camilla in a open top carriage during Trooping The Colour, the King's annual birthday parade, in London, Saturday, June 13, 2026. (AP Photo/Kirsty Wigglesworth)
Sebuah stesen radio komuniti di United Kingdom didapati melanggar peraturan penyiaran selepas tersilap mengumumkan kematian Raja Charles III dalam satu siaran pada Mei lalu. - Gambar fail AP
Advertisement

LONDON: Sebuah stesen radio komuniti di United Kingdom didapati melanggar peraturan penyiaran selepas tersilap mengumumkan kematian Raja Charles III dalam satu siaran pada Mei lalu, menurut badan pengawal selia media negara itu, Ofcom.

Radio Caroline yang pernah dikenali sebagai pirate radio atau stesen radio lanun (beroperasi tanpa lesen rasmi kerajaan, sering bersiaran dari kapal di perairan antarabangsa bagi mengelakkan kawalan pihak berkuasa) sebelum beralih kepada siaran muzik rock, sebelum ini memohon maaf selepas menyiarkan mesej yang secara salah mengumumkan kemangkatan baginda.

Salah satu mesej yang disiarkan memaklumkan bahawa siaran biasa stesen itu digantung sehingga diberitahu kelak sebagai tanda penghormatan susulan kemangkatan Raja Charles III.

Selepas pengumuman tersebut, lagu kebangsaan dimainkan sebelum siaran beralih kepada kira-kira 16 minit keadaan senyap, sebelum program biasa disambung semula.

Menurut Ofcom, penyampai radio hanya mengeluarkan permohonan maaf kira-kira 30 minit selepas mesej berkenaan mula disiarkan.

Badan pengawal selia itu yang menerima dua aduan berhubung insiden berkenaan, menyifatkan, kesilapan tersebut sebagai "ketidaktepatan yang sangat serius" dan menegaskan, tempoh masa yang diambil untuk mengakui kesalahan itu terlalu lama.

Ofcom memutuskan, stesen berkenaan melanggar dua peraturan penyiaran, termasuk kewajipan memastikan laporan berita tepat dan tidak berat sebelah, serta keperluan untuk mengakui dan membetulkan kesilapan penting dengan segera di udara.

Radio Caroline menjelaskan, insiden itu berlaku apabila seorang kakitangan mengakses fail audio yang telah dirakam lebih awal bagi kegunaan sekiranya kemangkatan raja benar-benar berlaku.

Ketika kerja penyelenggaraan komputer studio dijalankan dan program sedang disiarkan secara jarak jauh, kakitangan terbabit dilaporkan memainkan fail berkenaan kerana ingin tahu.

Tindakan itu secara tidak sengaja menghentikan sambungan siaran daripada lokasi penyampai dan menyiarkan fail tersebut secara langsung kepada pendengar.

Menurut laporan Ofcom, individu berkenaan kemudian panik dan meninggalkan premis selepas menyedari kesilapan yang berlaku.

Stesen itu turut menjelaskan bahawa penyampai yang sedang bersiaran dari lokasi lain tidak menyedari siarannya telah terputus melainkan beliau memantau output siaran menerusi sistem pemantauan internet.

Penyampai berkenaan juga dipercayai tidak memantau telefon bimbitnya secara aktif ketika itu kerana menyangka beliau masih bersiaran seperti biasa, menyebabkan panggilan daripada kakitangan stesen yang cuba memaklumkan kesilapan tersebut tidak dijawab dengan segera.

Radio Caroline berkata, kakitangan yang memainkan fail berkenaan telah diberikan teguran dan turut memohon maaf atas insiden tersebut.

Stesen itu juga memaklumkan semua fail audio yang dirakam lebih awal bagi tujuan pengumuman kemangkatan raja telah dikeluarkan daripada komputer studio bagi mengelakkan kejadian sama berulang. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement