Skip to main content

Dunia

Taufan Narra cetus banjir besar di Guangxi, 54,000 penduduk dipindahkan

Rescue workers evacuate flood-affected residents by boat after heavy rainfall brought by typhoon Narra caused flooding in Ningming county, Chongzuo, Guangxi Zhuang Autonomous Region, China, August 23, 2026. cnsphoto via REUTERS
Pasukan penyelamat menggunakan bot getah untuk memindahkan penduduk yang masih terperangkap, manakala sebahagian anggota terpaksa meredah air hingga paras lutut bagi menjalankan operasi menyelamat. -Foto Reuters
Advertisement

BEIJING: Hujan lebat yang dibawa Taufan Narra mencetuskan banjir besar di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, sekali gus memaksa puluhan ribu penduduk dipindahkan ke kawasan selamat sejak hujung minggu lalu.

Menurut laporan penyiar negara China Central Television (CCTV), seramai 54,000 penduduk telah dipindahkan, termasuk 8,087 orang yang kini ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan.

Pihak berkuasa hidrologi tempatan melaporkan paras air di 20 stesen pemantauan di 15 sungai telah melepasi tahap amaran berikutan hujan berterusan.

Rakaman udara yang disiarkan CCTV menunjukkan banjir berlumpur menenggelami sebahagian kawasan di bandar Chongzuo, termasuk jalan raya dan beberapa kawasan perumahan.

Pasukan penyelamat turut dikerahkan menggunakan bot getah untuk memindahkan penduduk yang masih terperangkap, manakala sebahagian anggota terpaksa meredah air hingga paras lutut bagi menjalankan operasi menyelamat.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China berkata Taufan Narra kekal berada di Teluk Beibu di barat laut Laut China Selatan sejak beberapa hari lalu, sekali gus membawa hujan lebat ke Guangxi serta wilayah berhampiran termasuk Hainan dan Guangdong.

Keadaan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga Rabu dengan Guangxi, Guangdong, Hainan dan Fujian diramal menerima hujan lebat yang boleh meningkatkan risiko banjir serta tanah runtuh.

Dalam perkembangan berkaitan, China menangguhkan pelancaran misi lunar tanpa kru Chang'e-7 dari Tapak Pelancaran Angkasa Wenchang di Hainan selepas keadaan cuaca tidak memenuhi syarat pelancaran yang diperlukan.

Must Watch Video

Advertisement