Skip to main content

Dunia

Tehran dakwa sekatan baharu AS ‘pengisytiharan perang’ terhadap semua negara

An Iranian man walks next to a mural on a street in Tehran, Iran, May 11, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Baghaei menegaskan tiada negara mempunyai hak untuk memaksa bank, syarikat atau lapangan terbang milik negara lain menghentikan perdagangan sah dengan pihak ketiga. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Iran menyifatkan sekatan ekonomi terbaharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu sebagai satu “pengisytiharan perang” terhadap semua negara, sambil mendakwa langkah tersebut cuba memaksa komuniti antarabangsa mematuhi kuasa luar wilayah Washington.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata sekatan berkenaan bukan lagi sekadar tekanan ekonomi terhadap Tehran, sebaliknya merupakan cubaan AS untuk mengenakan kedaulatannya ke atas semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pengumuman sekatan baharu ini adalah percubaan Amerika Syarikat untuk melaksanakan kedaulatan luar wilayah ke atas semua negara anggota PBB yang bebas,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui platform media sosial X.

 

 

Baghaei menegaskan tiada negara mempunyai hak untuk memaksa bank, syarikat atau lapangan terbang milik negara lain menghentikan perdagangan sah dengan pihak ketiga.

Menurutnya, sekatan sekunder yang mengancam mana-mana pihak yang menjalankan urusan dengan Iran tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa dan melanggar prinsip kesaksamaan kedaulatan yang termaktub dalam Piagam PBB.

Beliau turut memberi amaran bahawa pematuhan terhadap tekanan sedemikian boleh menghakis kedaulatan negara-negara lain dan membawa kepada apa yang disifatkannya sebagai “kembalinya kolonialisme secara terang-terangan dan berskala penuh”.

Kenyataan Tehran itu hadir selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai “operasi ekonomi paling keras” terhadap Iran.

Trump memberi amaran bahawa mana-mana negara atau institusi yang menjalankan urusan dengan Tehran akan berdepan akibat ekonomi yang serius.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, turut mempertahankan pendekatan tersebut dengan menyatakan rejim sekatan baharu itu bertujuan meningkatkan tekanan maksimum ke atas Iran, sambil memberi isyarat bahawa negara lain perlu memilih sama ada menyokong Washington atau Tehran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, bagaimanapun menolak keberkesanan sekatan baharu itu dan berkata Tehran telah lama berdepan tindakan serupa daripada Washington.

Beliau menyifatkan langkah terkini AS sebagai dasar lama yang gagal mencapai matlamatnya.

Pertikaian berhubung sekatan itu berlaku ketika rundingan antara kedua-dua negara masih buntu, manakala ketegangan di Teluk terus meningkat susulan konflik yang berlarutan dan gangguan terhadap laluan perdagangan strategik di Selat Hormuz.

 

 

Must Watch Video

Advertisement