Beliau berkata sebelum ini ramai rakyat Thailand, terutamanya dari wilayah selatan seperti Narathiwat, Yala dan Pattani, berhijrah ke Malaysia untuk bekerja, terutamanya dalam sektor perladangan dan pembinaan serta di restoran sebagai tukang masak atau pelayan kerana tawaran gaji yang lebih tinggi
"Namun, dengan pemulihan ekonomi Thailand, kami berharap mereka kembali untuk membangunkan negara sendiri," katanya kepada media Malaysia menerusi penterjamah bahasa semasa lawatan mereka di sini baru-baru ini.
Trakul berkata kerajaan Thailand kini menawarkan pelbagai sokongan untuk menarik rakyatnya pulang, termasuk peluang dalam sektor pertanian seperti penanaman padi, durian dan getah.
Selain itu, katanya kerajaan Thailand juga menumpukan kepada aspek keselamatan dan keamanan untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
"Walaupun tawaran gaji mungkin tidak setinggi di Malaysia, kami yakin dengan bantuan kerajaan, mereka mampu hidup selesa di Thailand," katanya.
-- BERNAMA