Skip to main content

Dunia

Thailand tarik pelaburan AS$26.8 bilion dalam semikonduktor, elektronik

71662605078_semikonduktor.jpg
Menurut Lembaga Pelaburan Thailand (BOI), sebanyak 880 projek berteknologi tinggi telah dikemukakan antara 2023 hingga pertengahan 2026. - Gambar hiasan
Advertisement

BANGKOK: Thailand menarik lebih AS$26.8 bilion pelaburan yang dipohon bagi projek semikonduktor dan elektronik maju sepanjang tiga tahun lalu, ketika pengeluar global mengalihkan pengeluaran dari hab tradisional, menurut agensi promosi pelaburan negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.

Menurut Lembaga Pelaburan Thailand (BOI), sebanyak 880 projek berteknologi tinggi telah dikemukakan antara 2023 hingga pertengahan 2026.

Papan litar bercetak (PCB) menyumbang bahagian terbesar, dengan 224 projek bernilai AS$9.85 bilion.

BOI menyifatkan aliran masuk pelaburan itu didorong oleh permintaan global berkaitan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor generasi baharu, kenderaan elektrik dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

"Dalam situasi penstrukturan semula rantaian bekalan global, Thailand muncul sebagai hab pembuatan papan litar bercetak bertaraf dunia," kata Setiausaha Agung BOI Narit Therdsteerasukdi dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lebih separuh daripada pengeluar PCB terkemuka dunia memilih Thailand sebagai pangkalan pengeluaran dan sedang mengembangkan operasi mereka di negara itu bagi membolehkan pembekal tempatan menyertai ekosistem teknologi global.

Menurut anggaran BOI, pasaran elektronik maju Thailand dijangka bernilai antara AS$48 bilion hingga AS$52 bilion pada 2026.

Presiden Persatuan Papan Litar Bercetak Thailand, Pitharn Ongkosit, berkata segmen semikonduktor dan pembungkusan maju dijangka berkembang antara 15 hingga 20 peratus setahun, manakala permintaan berkaitan pelayan AI dan infrastruktur pusat data meningkat sehingga 22 peratus setiap tahun.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan elektronik maju semakin menjadi pemacu utama ekonomi perindustrian Thailand.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement