KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra menyuarakan keyakinannya terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menyelesaikan konflik Myanmar, empat tahun selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.


Ringkasan AI
  • Thaksin Shinawatra yakin Malaysia mampu menyelesaikan konflik Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN, dengan bantuan dan nasihatnya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Thaksin menasihati kumpulan penentang di Myanmar untuk mengemukakan tuntutan yang lebih pragmatik dan menggesa junta Myanmar untuk mengambil pendekatan inklusif sebelum pilihan raya umum.
  • Thaksin mencadangkan ASEAN untuk mengguna pakai mata wang kripto agar tidak ketinggalan dalam perkembangan global, terutama dengan sokongan terbuka Presiden AS Donald Trump terhadap Bitcoin.


Thaksin, yang dilantik sebagai penasihat tidak rasmi bagi Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lalu, mendedahkan bahawa beliau telah mula membantu dan menasihati Anwar dalam usaha itu.

Beliau menyifatkan Anwar sebagai seorang pemimpin yang baik dengan pemikiran tajam serta mampu melihat sesuatu perkara dari perspektif yang luas dan terperinci.

Dalam temu bual eksklusif bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Bangkok baru-baru ini, Thaksin bersetuju bahawa isu Myanmar merupakan "isu sensitif yang dielakkan" bagi ASEAN.

Menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai Pengerusi ASEAN, pemimpin berusia 75 tahun itu berkata beliau telah mula bertemu dengan pemimpin kumpulan penentang utama dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata yang berlarutan lebih empat tahun di Myanmar.

"Mereka mengemukakan senarai tuntutan yang panjang, tetapi saya menasihati mereka supaya kembali dengan senarai yang lebih ringkas dan bersifat pragmatik.

"Junta Myanmar juga perlu mengambil pendekatan lebih inklusif dengan melibatkan kumpulan-kumpulan ini sebelum bercakap mengenai pilihan raya umum yang mungkin tidak diiktiraf jika tidak dikendalikan dengan baik, sekali gus menjadi satu pembaziran," katanya.

Media Thailand sebelum ini melaporkan bahawa Thaksin bertemu dengan pemimpin Shan State Reconstruction Council dan Shan State Army di Chiang Mai pada Mac dan April.

Myanmar bergolak sejak tentera melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.

Sepanjang empat tahun lalu, lebih 6,000 orang awam dilaporkan terbunuh oleh pihak tentera, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP).

Thaksin berkata di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai pengerusi blok serantau itu.

Sementara itu, Thaksin mencadangkan bahawa adalah baik jika ASEAN dapat "bertolak ansur" sekiranya junta tentera bersetuju untuk berunding dengan pelbagai kumpulan etnik.

Beliau bersetuju dengan Anwar bahawa semua pihak perlu terlibat dalam rundingan sebagai langkah meredakan konflik.

Dalam perkembangan lain, Thaksin turut mencadangkan dan mengesyorkan ASEAN untuk mengguna pakai mata wang kripto, sambil menegaskan bahawa blok serantau itu tidak boleh ketinggalan memandangkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka mendorong penggunaan mata wang digital.

"Trump secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap Bitcoin dan mata wang digital lain, jadi ASEAN perlu mengkaji bagaimana untuk bergerak ke hadapan agar tidak ketinggalan," katanya.

Bulan lalu, Trump menggesa penubuhan kumpulan kerja bagi mencadangkan peraturan baharu berkaitan aset digital serta meneroka kemungkinan mewujudkan simpanan nasional mata wang kripto.

Mengenai persaingan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China, Thaksin berkata ASEAN menyedari kerumitan situasi itu tetapi menegaskan bahawa blok berkenaan sentiasa mendukung kepada komitmen berkecuali.

"Amerika Syarikat telah lama menjadi sekutu kita, tetapi China ialah jiran kita. Adalah lebih baik sekiranya AS meningkatkan penglibatannya dengan ASEAN," katanya ketika ditanya sama ada pentadbiran kedua Trump akan menunjukkan minat lebih besar terhadap rantau ini.

Dengan populasi lebih 600 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$3 trilion, Thaksin berkata ASEAN seharusnya diberi perhatian lebih besar.

Sejak pelantikannya, Thaksin dan Anwar telah mengadakan pertemuan dua kali - pada akhir Disember dan awal Februari - bagi membincangkan pelbagai isu penting, termasuk situasi di Myanmar, usaha perdamaian di Selatan Thailand serta pembangunan mata wang kripto.

-- BERNAMA